Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu 'pemain warisan' - Jawatankuasa bebas nasihat FAM segera lapor polis
Diterbitkan:  Dec 16, 2025 10:22 PM
Dikemaskini: 2:35 PM

Laporan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang menyiasat kontroversi pemain warisan menasihatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya segera membuat laporan polis, selain mengambil tindakan tatatertib dalaman bagi memulihkan wibawa pengurusan badan induk bola sepak negara itu.

IIC yang diketuai bekas ketua hakim negara Md Raus Sharif berkata langkah-langkah tersebut penting bagi mengelakkan kejadian sama berulang dan untuk memulihkan kredibiliti serta integriti operasi FAM.

"Kes Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) terhadap FAM dan tujuh pemain terbabit melibatkan dakwaan pemalsuan dan penyelewengan dokumen rasmi.

"Pemalsuan merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan Malaysia. IIC tidak mempunyai kuasa atau bidang kuasa untuk menyiasat perkara yang merupakan kesalahan jenayah.

"Pihak berkuasa yang berkenaan untuk menyiasat kesalahan jenayah seperti ini di Malaysia adalah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Oleh itu, IIC mengesyorkan agar FAM segera membuat laporan polis bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan penuh dan wajar untuk menentukan punca pemalsuan yang disyaki terhadap dokumen yang dipertikaikan serta mengenal pasti pihak-pihak yang bertanggungjawab," kata laporan itu.

Selain Md Raus, jawatankuasa bebas ini juga dianggotai bekas hakim Mahkamah Rayuan Kamaludin Md Said, bekas ketua pengarah Mampu Dr Yusof bin Ismail dan peguam kanan Thavalingam C Thavarajah.

Tindakan tatatertib

IIC turut mengesyorkan tindakan tatatertib dalaman terhadap setiausaha agung FAM, Noor Azman Rahman (gambar bawah) yang didakwa mengarahkan dokumen dipertikaikan dikemukakan kepada Fifa tanpa mengesahkan kesahihannya.

Noor Azman yang dilantik ke jawatan setiausaha agung FAM pada Ogos 2022 digantung tugas serta-merta pada Oktober 2025 susulan kontroversi pemain warisan ini.

Menurut jawatankuasa itu, tindakan tersebut dibuat walaupun rekod kelahiran asal bertulis tangan tidak dapat diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Memandangkan tanggungjawab yang wujud secara inheren dalam kedudukannya sebagai Ketua Pegawai Pentadbiran FAM, terdapat jangkaan pentadbiran bahawa dokumen yang dikemukakan kepada pihak luar, khususnya yang melibatkan isu penting berkaitan kelayakan tujuh pemain untuk mewakili Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Malaysia, mestilah melalui penelitian dalaman yang sewajarnya.

“Namun, IIC mendapati perkara ini tidak dilakukan dan hal tersebut merupakan satu kecuaian dalam pelaksanaan usaha wajar (due diligence) serta kegagalan mematuhi prosedur yang sepatutnya (sama ada secara tersirat mahupun dinyatakan secara jelas),” kata IIC.

Sehubungan itu, IIC mengesyorkan agar Jawatankuasa Tatatertib FAM memulakan prosiding dalaman bagi menentukan sama ada wujud kegagalan pengawasan dan usaha wajar, serta sama ada tindakan pembetulan atau pentadbiran perlu diambil.

Bagaimanapun, syor tersebut, kata laporan IIC dibuat “tanpa prejudis” dan tidak bermaksud mengaitkan penglibatan peribadi Noor Azman dalam dakwaan pemalsuan.

Dalam kesimpulannya, IIC memaklumkan ia tidak dapat menentukan secara muktamad pihak yang memalsukan dokumen berkenaan berikutan kegagalan Notari Awam memberi kerjasama dan ketidakmampuan mengesan ejen tujuh pemain terbabit walaupun usaha munasabah telah dibuat.

Namun, jawatankuasa itu menegaskan wujud “kegagalan serius dari segi pengawasan, usaha wajar dan kawalan pentadbiran dalam pengurusan FAM”, yang membolehkan insiden tersebut berlaku tanpa dikesan atau dicegah.

IIC juga berpandangan kes Fifa terhadap FAM dan tujuh pemain berkenaan merupakan perkara berkepentingan awam, dan mengesyorkan laporan penuh didedahkan kepada umum.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima laporan siasatan jawatankuasa bebas itu petang tadi.

Pemangku presiden FAM, Mohd Yusoff Mahadi memaklumkan Jawatankuasa Eksekutifnya akan mengadakan mesyuarat khas pada 22 Disember ini bagi membincangkan dapatan laporan berkenaan secara terperinci sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.

Pada 10 Dis lalu, Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah pegawai FAM perlu bertanggungjawab sekiranya terbukti melakukan salah laku berhubung dakwaan pemalsuan dokumen berhubung isu itu.

Baginda turut menyindir FAM, mempersoalkan sumbangan badan induk itu terhadap pembangunan bola sepak tempatan.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) sebelum ini memulakan siasatan terhadap FAM dan tujuh pemain Harimau Malaya — Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Pada 26 Sept, Fifa memutuskan pemain-pemain itu bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Siasatan Fifa mendapati FAM mengemukakan dokumen yang didakwa dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain-pemain berkenaan, sekali gus membenarkan mereka beraksi dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun, yang menyaksikan Malaysia menewaskan Vietnam 4-0.

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda 350,000 franc Swiss (sekitar RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Swiss dan digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS