Aktivis dan bekas timbalan pendakwa raya, Liyana Marzuki, hari ini menyekolahkan peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mendakwa tindakan mahkamah menolak permohonan Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara bawah tahanan rumah telah mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu.

Dalam satu hantaran di media sosial, Liyana menegaskan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan bukannya Raja Mutlak. Justeru, katanya, kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta kedaulatan undang-undang.
Malah, Liyana berkata, perkara itu telah pun ditekankan oleh Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini.
“Sistem negara ini ialah sistem Raja Berperlembagaan. Bukan Raja Mutlak.
“Maknanya, kuasa YDPA terbatas kepada peruntukan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Ini yang YDPA Abdullah cuba sampaikan Februari lalu. Bagi mereka yang nak faham isu.
“Baginda minta kita hormati undang-undang. Hari ini, mahkamah dah putuskan, tiada tahanan rumah kerana Adendum yang dibuat tidak berpelembagaan,” katanya sambil melampirkan beberapa keratan akhbar titah Al-Sultan Abdullah supaya semua pihak menghormati proses undang-undang.

Shafee hari ini mendakwa keputusan mahkamah menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara bawah tahanan rumah telah mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.
Dia juga meminta dan memohon kepada Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong supaya mereka memperhalusi keputusan hari ini dan mendakwa keputusan berkenaan akan mewujudkan floodgate effect (kesan kebanjiran) untuk permohonan lain di mahkamah..
Sementara itu mengulas kenyataan Dr Akmal Salleh yang turut meluahkan rasa kesal dan memberi bayangan wujud percaturan politik di sebalik keputusan mahkamah hari ini, Liyana berkata reaksi ketua Pemuda Umno itu melampaui batas dan berpotensi menghina institusi kehakiman.
“Tetapi Ketua Pemuda Umno mengamuk dan dah hampir borderline menghina Mahkamah ya. Walhal YDPA dah pesan lama dah.
“Saya hairan, yang buat keputusan itu mahkamah. Tapi dia mengamuk. Adakah dia pikir PM dan kabinet sekarang boleh suruh mahkamah ikut cakap mereka?” soalnya.

Akmal dalam hantaran berasingan turut menggesa Umno menarik sokongan daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Malah, katanya lebih baik Umno menjadi pembangkang yang bermaruah daripada terus “dihina”.
Dalam pada itu, Liyana mengingatkan bahawa hukuman penjara terhadap Najib dijatuhkan ketika Umno masih menerajui kerajaan Persekutuan.
“Kena ingat. Najib ijatuhkan hukuman dan kena penjara ketika zaman Umno jadi PM ya. Zaman orang dia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jadi orang nombor satu negara,” katanya.
Liyana turut mempersoalkan mengapa Umno tidak mengambil sebarang tindakan ketika berada dalam kedudukan berkuasa untuk membantu bekas perdana menteri itu.
“Kalau masa Umno jadi PM pun depa tak buat apa nak selamatkan bekas PM kesayangan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Liyana mempersoalkan tindakan menyerang kerajaan sekarang, sedangkan hukuman tersebut berlaku ketika Umno sendiri memerintah.
“Kenapa bila orang lain jadi PM mereka menyerang pula?
“Musykil hamba,” tambahnya.
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung titah adendum yang didakwa membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara beliau di bawahan tahanan rumah.

Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas mendapati titah berkenaan tidak dibincang atau diputuskan semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Jan 2024.
Susulan keputusan itu, Najib perlu menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang.
Dalam penghakimannya, hari ini, Loke memutuskan bahawa titah adendum itu tidak mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah tidak sah.
"Responden tidak mempunyai kuasa dan tiada kewajipan untuk mematuhi atau menguatkuasakannya… sebaliknya, pemohon (Najib) tidak mempunyai hak untuk memperoleh perintah mandamus… oleh itu, semakan kehakiman ini ditolak dan saya tidak membuat sebarang perintah berkaitan kos," katanya.
Pada 13 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan mengembalikan kes itu kepada Mahkamah Tinggi untuk mendengar meritnya di hadapa hakim baharu selepas menolak permohonan Peguam Negara bagi kebenaran merayu kepada Mahkamah Rayuan berhubung isu membabitkan titah adendum.
Najib, 72, memohon perintah mandamus bagi memaksa kesemua untuk mengesah dan mendedahkan kewujudan dokumen itu yang didakwa bertarikh 29 Jan 2024.

Dia menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Najib telah menjalani hukuman penjaranya di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi pada asalnya menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap beliau, keputusan yang kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, petisyen Najib untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022 menyaksikan Lembaga Pengampunan memendekkan hukuman penjara beliau kepada enam tahun dan mengurangkan dendanya kepada RM50 juta.
