Sekumpulan Pemuda Umno Selangor bersama kira-kira 100 penyokong hari ini mengadakan satu "sambutan" akhir tahun di luar pusat khidmat Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin berhubung sindirannya terhadap keputusan mahkamah yang menolak semakan kehakiman titah adendum Najib Razak.
Kumpulan tersebut, yang diketuai oleh Ketua Pemuda Umno Selangor, Imran Thamrin, mensasarkan Yeo susulan kenyataannya yang menyifatkan kegagalan permohonan Najib untuk tahanan rumah sebagai sesuatu yang patut diraikan.
Imran berkata Pengerusi Jawatankuasa Publisiti DAP itu sepatutnya "merai" sabitan bersalah terakhir kes rogol membabitkan bekas Adun Tronoh, Paul Yong.

"Ini adalah peringatan untuk beliau berhenti campur tangan dalam urusan parti lain dan sebaliknya fokus kepada parti sendiri (DAP)," kata Imran.
Sebagai sebahagian daripada "sambutan" simbolik itu, kumpulan tersebut menaikkan kain rentang yang menonjolkan sabitan hukuman Yong, yang berakhir dengan keputusan mahkamah pada 1 Oktober lalu menolak rayuan akhirnya dalam kes rogol pembantu rumahnya pada 2019.
Turut dipaparkan adalah karikatur wajah Yeo dengan perkataan "BiaDAP", manakala seorang lelaki yang berpakaian baju banduan hitam-putih serta topeng 'Joker' dikatakan mewakili Yong.
Kumpulan itu kemudiannya menyediakan meja dan mengedarkan bungkusan nasi lemak percuma—satu idea "sambutan" yang menurut Imran pada asalnya dirancang untuk menandakan jangkaan "pembebasan" Najib semalam.

Selepas meja disediakan oleh kumpulan Pemuda Umno itu, beberapa kakitangan dari pusat khidmat Yeo turut membawa turun makanan ringan dan air botol untuk dikongsi bersama.
Selain ahli dan penyokong Umno, beberapa pegawai polis berpakaian seragam dan berpakaian preman turut kelihatan di lokasi kejadian, dipercayai bagi mengawal perhimpunan daripada menjadi lebih tegang.
Terdahulu, dalam satu memorandum bantahan yang diterima oleh salah seorang pegawai Yeo, Pemuda Umno Selangor secara kolektif menuntut permohonan maaf secara terbuka kepada Najib, keluarganya, serta seluruh ahli dan penyokong Umno.
"Kami, Pemuda Umno Selangor, ingin menyatakan bantahan keras kami terhadap kenyataan dan hantaran media sosial oleh YB Puan yang bersifat sinis, tidak sopan, dan merosakkan keharmonian politik, terutamanya berkaitan isu undang-undang melibatkan Najib Razak.

"Sebagai seorang Ahli Parlimen dan pemimpin dalam kerajaan, tindakan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab, melanggar etika kepimpinan, dan mencetuskan ketegangan politik yang tidak sihat," menurut memorandum berkenaan.
Mereka turut memberi tempoh 24 jam kepada Yeo untuk memohon maaf dan menurunkan hantaran asalnya.
Ketua Pemuda Umno Puchong, Khairul Azmil Bashir Mohamed, berkata jika gagal berbuat demikian pihaknya akan memutuskan hubungan dengan rakan sejawat mereka dalam DAP Puchong.
Terdahulu pemimpin Umno, serta PKR dan DAP, telah menegur Yeo berhubung kenyataannya yang turut mencetuskan gesaan agar BN menarik balik sokongan terhadap kerajaan perpaduan.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang memberikan tahanan rumah kepada Najib adalah tidak sah kerana tidak melalui Lembaga Pengampunan.
Yong adalah Adun DAP selama dua penggal dan bekas Exco Perak antara 2018 dan 2020.
Bagaimanapun, karier politiknya terjejas pada 2019 apabila dia dituduh merogol pembantu rumahnya.
Pada 27 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati dia bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan. Dia kemudiannya dipecat daripada partinya.
