Agama melarang perbuatan balas dendam. Walaupun kedaulatan undang-undang tertegak dan keluhuran perlembagaan terpelihara, kes Najib Razak tidak sepatutnya menjadi bahan sorak-sorai untuk mentertawakan dia kekal terpenjara. Ini sepatutnya menjadi pengajaran, bukannya hiburan.
Menurut mahkamah, perintah tahanan rumah tidak termaktub dalam mana-mana undang-undang, maka ia tidak boleh dilaksanakan. Ini bukan kepelikan yang perlu diratapi. Pada tahun 2016, ketika Anwar Ibrahim memohon tahanan rumah, ia juga ditolak kerana tiada peruntukan sedemikian dalam kitab undang-undang kita.
Sedangkan alasannya ketika itu disebabkan masalah kesihatan yang disahkan oleh pihak hospital. Itu pun tidak cukup kuat untuk merempuh benteng undang-undang bagi memberi laluan meneroka suatu pendekatan baru dalam pembikinan dan penguatkuasaan undang-undang.
Kita juga agak keliru dengan permintaan dan desakan sesetengah pemuka politik ketika memberi reaksi terhadap kes Najib. Melalak sakan, menjerit dan mencela seolah-olah yang membuat keputusan penghakiman tersebut adalah perdana menteri, bukannya mahkamah.
Apa sebenarnya yang mereka mahukan? Perdana menteri tidak boleh sewenang-wenangnya campur tangan dalam urusan penghakiman atau mereka mahu perdana menteri mengarahkan sang hakim membebaskan Najib?
Apa makna kedaulatan undang-undang jika perdana menteri boleh didesak dan dipersalahkan secara terbuka hanya kerana penghakiman tidak menurut selera para pemuka politik tersebut?
Setakat ini, berdasarkan penelitian mata kasar, perdana menteri tidak pun menghalang seorang pegawainya yang paling kanan daripada diheret ke mahkamah atas tuduhan rasuah. Itu belum lagi kes Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor yang tidak diteruskan pada awal 2025 atas tuduhan menghasut terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Pihak pendakwa raya tidak berhasrat untuk meneruskan pertuduhan lalu beliau dibebaskan. Bukankah Sanusi adalah musuh politik PMX yang saban hari menghentam dan mengkritiknya secara terbuka?
Demi mendiamkan dan meredam musuh politik tersebut, PMX, menurut sifir para pemuka politik tadi, patut campur tangan dalam urusan mahkamah dan menghukum Sanusi demi keuntungan politik parti pemerintah.
Demikian juga dalam kes Tan Sri Mahiaddin Yassin, mantan perdana menteri, yang merupakan antara musuh politik terbesar PMX. Pada bulan Ogos 2023, dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu.
Bukankah sepatutnya PMX didesak untuk campur tangan dalam proses penghakiman ketika ini demi menghancurkan musuh politiknya yang paling utama?
Jika demikianlah sifirnya…
Jika demikianlah sifirnya, maka di sinilah titiknya sang perdana menteri tersebut campur tangan bagi melumpuhkan terus musuh politik yang sentiasa mengancam kedudukan dan kestabilan kerajaan.
Tapi itu tidak berlaku. Ya, barangkali ada yang berhujah berkaitan kes Zahid Hamidi yang dibebaskan dalam kes rasuah Sistem Visa Luar Negara (VLN) pada tahun 2024, barangkali terdapat arahan daripada PMX bagi melepaskan sekutu politik utamanya itu.
Tetapi batu jemala kita harus ditepuk untuk mengingatkan bahawa kes Zahid sudah dibicarakan dan diputuskan lebih awal pada tahun 2022 dalam Mahkamah Tinggi, ketika perdana menterinya bukan bernama Anwar Ibrahim.
Keputusan Mahkamah Rayuan pada penghujung 2024 tersebut hanyalah pengekalan terhadap keputusan yang diputuskan pada bulan September 2022. (Pilihan raya umum yang kemudiannya membuka jalan kepada Anwar sebagai perdana menteri berlangsung pada November 2022.)
Kepada pemuka politik yang melatah dan marah-marah dengan penolakan perintah tahanan rumah terhadap Najib, sudah-sudahlah menyalahkan perdana menteri dan mahkamah yang ada hari ini.
Anda perlu memilih, mahukan sistem kehakiman yang bebas ataupun yang lemah dan rapuh. Kita tidak mampu untuk memilih kedua-duanya sekali. Mungkin ramai yang lupa atau sengaja menolak hakikat bahawa Najib ditangkap, didakwa dan dijatuhi hukuman bersalah bukan di zaman PMX, tetapi di zaman tiga perdana menteri sebelumnya.
Tetapi beliau diberikan diskaun hukuman penjara ketika zaman PMX. Undang-undang perlu adil untuk semua. Bukan untuk memenjarakan, tanpa diskaun, orang yang mencuri runcitan, tetapi memberikan diskaun penjara kepada pencuri bilionan. Isyarat apa yang hendak disampaikan kepada rakyat negara ini sebenarnya?
Satu lagi, bagi parti yang sudah pernah ditolak secara besar-besaran dalam pilihan raya sebelum ini, gunakanlah tempoh iddah ini bagi tujuan muhasabah diri, menjauhkan diri daripada korupsi dan salah guna kuasa. Bangkitlah semula dengan imej yang lebih bersih, rasional, segar dan bertenaga.
Yang bersalah, biarlah ia menghabiskan sisa hukumannya. Anggaplah itu sebagai suatu proses penyucian dosa. Kalau nak marah tentang troll musuh politik, cuba imbau semula detik-detik ketika anda mentertawakan dan mempersendakan Kak Wan (Wan Azizah Ismail) dalam parlimen, dan ketika mengumumkan pembinaan laluan komuter ke Sungai Buloh untuk melawat “kenalan” .
PMX tidak pernah barang sekali pun mentertawakan dan mempersendakan sedemikian rupa kerana agama melarang perbuatan membalas dendam.
SAHUL HAMID MOHAMED MAIDDIN adalah pensyarah kanan Jabatan Sejarah sebuah universiti awam.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
