PH Perlis menyatakan sokongan supaya kerajaan negeri diterajui PAS ketika ini diteruskan dan kekal memerintah sehingga tamat penggal, demi menjamin kestabilan pentadbiran negeri.
“Pakatan Harapan menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Perlis yang terbentuk pada hari ini adalah hasil mandat jelas rakyat melalui proses demokrasi yang sah.
"Mandat besar yang diberikan oleh rakyat ini wajib dihormati dan dipelihara. Ia bukan ruang untuk pergolakan dalaman atau percaturan kuasa yang hanya menimbulkan keresahan awam serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi pentadbiran negeri.
"Sehubungan itu, Pakatan Harapan Perlis menyatakan sokongan agar kerajaan negeri sedia ada diteruskan dan kekal memerintah sehingga tamat penggal," kata gabungan itu pada satu kenyataan hari ini.

Difahamkan pendirian terbaru PH Perlis itu selepas mesyuarat malam tadi walaupun Pengerusinya Noor Amin Ahmad (gambar atas) sebelum ini berkata pihaknya bersedia menghadapi pembubaran DUN dalam masa terdekat.
PH Perlis berkata pendirian itu dibuat bagi memastikan keharmonian politik negeri serta menjaga kepentingan rakyat dan institusi diraja.
“Kestabilan kerajaan adalah keperluan utama bagi sebuah negeri kecil seperti Perlis, bukan sahaja untuk memastikan kelancaran pentadbiran, malah bagi menjimatkan kewangan kerajaan, mengelakkan pembaziran akibat ketidaktentuan politik serta tidak mengguris mandat rakyat yang telah diberikan secara sah,” kata gabungan itu.
Keadaan politik di Perlis mula bergolak susulan terdapat usaha untuk menyingkirkan Menteri Besarnya, Shukri Ramli.

Pada masa sama, Shukri pula mendapatkan rawatan di hospital selepas mengadu mengalami sakit dada sebaik pulang dari China. Dia telah pun dibenarkan keluar petang semalam.
"Alhamdulillah. Saya selamat discharge petang tadi. Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan saya," kata Mohd Shukri.
Beberapa laporan media memetik sumber menyebut lima Adun Bersatu dan tiga daripada PAS telah menyerahkan Akuan Bersumpah kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, bagi menyatakan hilang keyakinan terhadap menteri besar itu.
Lapan Adun ini membentuk majoriti mudah dalam Dewan Undangan Negeri Perlis yang mempunyai 15 Adun.

Dalam perkembangan berkaitan, PH Perlis menegaskan sebarang percaturan kuasa dan pergolakan politik dalaman hanya mencetuskan keresahan awam serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negeri.
"Pertelingkahan terbuka hanya melemahkan pentadbiran, mencalarkan imej negeri dan mengganggu tumpuan kerajaan dalam mengurus hal-hal asas rakyat. Keutamaan kerajaan negeri seharusnya diberikan sepenuhnya kepada pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat, peluang pekerjaan, kos sara hidup dan kemajuan negeri secara mampan," kata gabungan itu lagi.
PH Perlis juga menekankan kepentingan kepimpinan negeri bersikap matang serta menghormati Institusi Raja.
“Hubungan yang harmoni dan penuh hormat dengan DYMM Tuanku Raja Perlis serta Istana merupakan tunjang utama kestabilan negeri dan perlu dipelihara dengan kebijaksanaan serta keinsafan terhadap kedudukan Raja Berperlembagaan,” katanya.
PH Perlis turut menyeru semua pihak dalam kerajaan negeri mengutamakan muafakat dan perbincangan beradab bagi menyelesaikan perbezaan pandangan, selain menegaskan komitmen mereka untuk terus menyokong kerajaan negeri sedia ada sehingga tamat penggal pentadbiran.
“Pakatan Harapan Perlis akan terus berdiri bersama kerajaan negeri sedia ada, Institusi Raja dan kepentingan rakyat, demi memastikan Negeri Perlis ditadbir dengan aman, stabil dan bermaruah sehingga tamat penggal pentadbiran.”
