Pemuda PH Perlis memberi pandangan berbeza berhubung pengosongan tiga kerusi DUN di Perlis, dan hasrat speaker DUN negeri itu agar PRK diadakan.
Ketuanya, Fadhzil Mohamad berkata parti-parti dalam kerajaan negeri, iaitu PAS dan Bersatu, perlu mengetepikan ego dan berbincang bagi menyelesaikan krisis yang berlaku.
“Walaupun PH dan BN memenangi kesemua PRK jika ia berlangsung, ia tetap tidak mengubah kedudukan kerajaan negeri sedia ada.
“Oleh itu, usaha menggugat kestabilan politik negeri atas alasan-alasan tersebut adalah tidak berasas dan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu speaker DUN Perlis, Rus'ele Eizan mengumumkan kekosongan luar jangka di tiga DUN iaitu Chuping, Bintong dan Guar Sanji selepas tiga Adunnya terhenti keahlian PAS.
Walaupun tempoh penggal sudah matang iaitu tiga tahun, pihaknya berpendapat terdapat keperluan untuk diadakan pilihan raya kecil (PRK) di ketiga-tiga kerusi berkenaan.
Ia selepas PAS memaklumkan keahlian tiga ahli Adun Perlis parti itu terhenti berkuat kuasa serta-merta.
Tindakan itu diambil terhadap Adun Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.
Ia dipercayai susulan pergolakan dihadapi kerajaan Perlis selepas tercetusnya usaha menjatuhkan kepimpinan Menteri Besar, Shukri Ramli.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhzil berkata jalan terbaik ketika ini ialah perbincangan yang matang, beradab dan berlandaskan Perlembagaan, demi memastikan kerajaan negeri dapat terus berfungsi sehingga tamat tempoh penggal.
“Kestabilan pentadbiran adalah keperluan utama bagi membolehkan fokus diberikan kepada kebajikan rakyat, pembangunan negeri dan pemulihan keyakinan awam.
“Prinsip demokrasi mesti disanjung dan dijulang dengan penuh amanah, keadilan dan rasa tanggungjawab terhadap rakyat. Politik tidak seharusnya menjadi punca perpecahan, sebaliknya wadah untuk membawa penyelesaian dan masa depan yang lebih baik,” katanya.
Ahmad Fadhzil berkata pihaknya memahami ada rasa tidak puas hati dalam kalangan beberapa Adun terhadap kepimpinan Shukri khususnya dari sudut ketegasan, keupayaan membuat keputusan serta hala tuju pentadbiran negeri.
Namun begitu, tegasnya, sebarang percubaan untuk menjatuhkan kerajaan melalui kaedah tidak matang dan tidak berlandaskan demokrasi yang beradab adalah amat mengecewakan.
“Mengheret nama baik negeri Perlis serta membiarkan rakyat terperangkap dalam kancah politik dalaman yang sempit dan tidak berprinsip adalah sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya lagi.
