ULASAN | Semalam, Mahkamah Tinggi menerusi hakim Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) telah memutuskan bekas perdana menteri Najib Razak bersalah atas kesalahan salah guna kuasa untuk mendapatkan RM2.3 Billion dan pengubahan wang haram melibatkan jumlah RM4.3 billion.
Walaupun kita harus hormati hakikat bahawa keputusan ini secara perundangan akan melalui proses rayuan, namun di peringkat ini mahkamah telah menjelaskan keputusan tersebut berasaskan bukti keterangan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Skandal 1MDB adalah antara yang terbesar dalam sejarah. Skandal inilah yang menyebabkan parti dominan selama 60 tahun - Umno-BN akhirnya tumbang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Bersih tidak terkecuali dalam menyemarakkan nyala rasa untuk rakyat bangkit menentang kemungkaran 1MDB.
Dalam Himpunan Bersih 4 (2015) dan Bersih 5 (2016) sebelum ini fokus utama adalah memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
Ketika itu gerakan besar ini bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan.

Memasuki tahun 2026, penggal kerajaan Madani hanya berbaki kurang dua tahun. Masih belum kelihatan usaha bersungguh kerajaan laksanakan reformasi utama khususnya menutup kelompongan sistemik yang terbukti rapuh dan gagal apabila berdepan skandal sebesar 1MDB.
Saya yakin rakyat tidak lagi sanggup menyaksikan lahirnya 1MDB 2.0 atau kemunculan kleptokrat 2.0 pada masa hadapan.
Kuasa untuk melaksanakan reformasi institusi terletak sepenuhnya di tangan kerajaan semasa, bukan di tangan kita bergelar rakyat.
Namun, peranan kita sebagai rakyat tidak pernah berakhir. Kita perlu untuk terus lantang, kritikal dan konsisten mengkritik serta memberi tekanan kepada sesiapa sahaja yang memerintah tanpa mengira ruang dan pentas, sama ada melalui dialog, forum, rapat umum, himpunan aman, mahupun demonstrasi jalanan.
Perjuangan adalah keberanian untuk bertindak.
MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ merupakan pengerusi Bersih sejak Dis 2023.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
