Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Henti tohmahan, kembali pada penyatuan ummah - mursyidul am
Diterbitkan:  Dec 30, 2025 4:02 PM
Dikemaskini: 8:06 AM

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin menggesa semua pihak menghentikan budaya tuduh-menuduh dan serangan peribadi yang menurutnya semakin membarah dalam suasana politik tanah air ketika ini.

Katanya, polemik yang berlaku bukan sahaja menjauhkan rakyat daripada adab sopan dan akhlak Islamiah, malah tidak memberi sebarang keuntungan kepada agama, bangsa mahupun negara.

"Suka untuk saya memperingatkan diri saya dan semua pihak, bahawa budaya tuduh-menuduh tanpa asas yang kukuh tidak akan membawa sebarang keuntungan.

"Sebaliknya, ia hanya akan melebarkan jurang perpecahan, menyemai benih kebencian, dan akhirnya merugikan rakyat yang mendambakan pembelaan nasib mereka," katanya dalam kenyataan.

Menteri besar baru Perlis dari Bersatu Abu Bakar Hamzah (kanan) menggantikan Mohd Shukri Ramli daripada PAS.

Hashim tidak menghuraikan lanjut berkaitan tuduhan dan serangan peribadi yang dibangkitkannya.

Bagaimanapun, kenyataan itu dikeluarkan tidak lama selepas pengerusi Perikatan Nasional (PN) meletakkan jawatan susulan ketegangan isu rampasan kerusi menteri besar Perlis daripada PAS.

‘Elak kancah provokasi’

Hashim turut mengingatkan kepentingan prinsip tabayyun (menyiasat berita) dan melarang naratif bersifat fitnah yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

Menurutnya, tenaga dan masa semua pihak sepatutnya digembleng untuk menyelesaikan isu-isu mendesak yang dihadapi rakyat berbanding terus bertelagah.

"Marilah kita mencari titik persamaan demi kestabilan negara. Tenaga dan masa yang ada sepatutnya digembleng untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat, ekonomi, dan kedaulatan negara," katanya lagi.

Dia turut menyeru anggota dan penyokong PAS tidak terheret dalam kancah provokasi serta terus mengamalkan politik matang dan sejahtera demi memelihara silaturahim meskipun mempunyai perbezaan pandangan politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS