Ketua Pemuda PN Afnan Hamimi Taib Azamudden menegaskan gabungan itu masih wujud, dengan menyifatkan pergeseran yang berlaku antara PAS dan Bersatu baru-baru ini sebagai “riuh sehari dua”.
Menurut Afnan, hanya segelintir pemimpin yang meletakkan jawatan dan pentadbiran negeri di bawah kerajaan PN masih berjalan seperti biasa.
“PN masih wujud. Proses pembentukan kepimpinan baru sedang dibincangkan dan akan ada pelantikan baru untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan.
“Cakap-cakap yang mengatakan PN sudah ‘damage’, sedang menuju kehancuran, sudah hilang arah, semuanya tak betul,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Afnan yang juga Ketua Pemuda PAS juga berkata hubungan dalam kalangan wakil rakyat kedua-dua parti sudah kembali seperti biasa, dan mereka masih saling berhubung.
“Riuhlah sekejap sehari dua, biasalah. Waktu tengah konflik, tengah panas, riuhlah. Pakat meluah rasa, melontar kritikan, memberi pandangan.“Tetapi selepas keadaan reda, masing-masing mohon maaf. Ukhwah kembali bertaut,” katanya lagi.
Pergeseran dalam PN dilihat bermula dengan lapan Adun di Perlis menyatakan hilang kepercayaan terhadap Mohd Shukri Ramli daripada PAS sebagai Menteri Besar, yang kemudiannya digantikan dengan Pengerusi Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah.

Beberapa pemimpin PAS kemudian menyatakan rasa tidak puas hati - sama ada secara sindiran mahupun terus - termasuk Afnan sendiri yang menegaskan krisis di Perlis membuktikan Bersatu tidak layak memimpin gabungan itu.
Pada 30 Disember lalu, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi PN, yang mencetuskan siri peletakan jawatan oleh pengerusi-pengerusi Bersatu negeri, termasuk setiausaha agung parti itu, Azmin Ali selaku pengerusi PN Selangor, dan timbalan presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, selaku pengerusi PN Perak.
Hari ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengesahkan parti itu akan menerajui PN dan mesyuarat mengenai calon pengerusi akan diadakan minggu depan.
Kemelut tersebut juga membangkitkan semula seruan agar Muafakan Nasional (MN) - iaitu kerjasama politik antara PAS dan Umno - dihidupkan semula.
‘Perlu kepada PN dan MN’
Hari ini, Afnan menyatakan ia tidak memadai dan sebaliknya membayangkan kombinasi PN dan MN.
Dia berkata penyatuan itu merupakan cara untuk melemahkan PN, khususnya DAP, yang menurutnya sentiasa berusaha agar mereka tidak bersatu.
“Kenapa? Supaya mereka dapat terus berkuasa buat apa sahaja.
“Jika wujud penyatuan melalui PN dan MN, mereka akan tergugat dan hilang semua kuasa yang mereka ada sekarang. Semua tahu perkara ini, lebih-lebih lagi DAP.
“PN sahaja tidak cukup, MN sahaja tidak cukup. Perlu kepada PN dan MN. Sebab itu sekarang ini mata semua tertumpu kepada PN.
“PN akan kuat dan cergas dengan pembentukan kepimpinan baru kelak, insya-Allah. Penyatuan ummah yang sangat diidamkan pasti akan terbentuk kelak,” katanya lagi.
