Paling Popular
Terkini

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengesahkan parti itu akan menerajui PN susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi berkuat kuasa semalam.

Abdul Hadi berkata mesyuarat mengenai calon pengerusi PN yang baru akan berlangsung minggu depan yang dijangka turut dihadiri pemimpin Bersatu.

“Mesyuarat itu nanti akan bersama-sama Bersatu. (Pemimpin) yang letak jawatan itu atas dia (sama ada) hendak datang (mesyuarat) atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di Marang hari ini.

Abdul Hadi berkata PAS mempunyai ramai calon dalam kalangan agamawan mahupun teknokrat namun Anggota Parlimen Marang itu masih menutup mulut mengenai identiti calon yang akan dikemukakan.

Ditanya kemungkinan dia akan menerajui PN seperti cadangan beberapa pihak, Abdul Hadi sekadar menjawab dirinya dalam keuzuran.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS