Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Reformasi demokrasi berisiko gagal tanpa tadbir urus baik – C4
Diterbitkan:  Jan 6, 2026 8:56 AM
Dikemaskini: 12:56 AM

Pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim terkait reformasi demokrasi mesti disertai dengan prinsip tadbir urus yang baik dan kukuh, menurut Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center).

Tanpanya, kata C4, pembaharuan tersebut boleh terjejas akibat kelemahan yang serius.

Bercakap dengan Malaysiakini, CEO C4, Pushpan Murugiah, membuat perbandingan dengan Akta Perolehan Kerajaan yang diluluskan tahun lalu, yang menerima kritikan.

“Akta Perolehan Kerajaan adalah contoh jelas undang-undang yang pada zahirnya diperkenalkan untuk memperbaiki tadbir urus dan ketelusan.

“Namun, ia kemudian dikritik hebat berikutan peruntukan yang cacat yang membenarkan tahap kuasa membuat keputusan yang tidak seimbang diberikan kepada menteri kewangan, selain peruntukan lain yang menghakis kebertanggungjawaban sebenar dalam proses perolehan,” kata Pushpan.

Semalam, Anwar mengumumkan empat reformasi demokrasi utama, termasuk cadangan had tempoh dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri.

Pembaharuan lain termasuk pembentangan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat (FOI), penubuhan pejabat ombudsman, serta rang undang-undang untuk memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya.

Mengulas mengenai keperluan kebebasan kehakiman, Pushpan berkata kesan positif had dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri tidak akan dapat direalisasikan secara berkesan jika undang-undang sedia ada, yang membenarkan penggunaan kuasa budi bicara dan sewenang-wenangnya, tidak turut diperbaharui.

“Ini mengingatkan kepada perkongsian portfolio antara pejabat peguam negara dan pendakwa raya, selain proses pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM.

“Ini merupakan proses serta amalan tadbir urus yang masih belum bebas daripada badan eksekutif Perdana Menteri. Had tempoh jawatan Perdana Menteri tidak mampu mengatasi isu-isu yang masih berbaki ini,” katanya lagi.

Pushpan Murugiah

Merujuk contoh kemungkinan “ketidakcekapan pendakwaan” serta campur tangan kehakiman, Pushpan menyorot bagaimana beberapa individu berprofil tinggi yang didakwa atas kesalahan berkaitan rasuah telah dibebaskan atau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

Antaranya Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang diberikan DNAA pada 2023 berhubung pertuduhan rasuah berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Jabatan Peguam Negara (AGC) mempertahankan keputusan untuk memohon DNAA bagi Zahid dengan menegaskan ia dibuat “selaras sepenuhnya dengan undang-undang”.

Kata Pushpan, pemisahan kuasa ini akan membolehkan pembahagian sumber yang lebih cekap serta membolehkan pendakwa raya mengendalikan kes-kes rasuah dengan lebih berkesan.

“Sudah tentu, proses pelantikan bagi pejabat pendakwa raya yang baru ditubuhkan itu juga mesti telus dan bebas daripada sebarang kemungkinan kawalan atau pengaruh pihak eksekutif, supaya pendakwaan dijalankan mengikut undang-undang dan bukannya bermotifkan politik,” katanya lagi.

FOI mesti merangkumi pindaan OSA

Mengenai pembentangan FOI, Pushpan mengingatkan ia perlu dilaksanakan seiring dengan pindaan terhadap Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Menurutnya, ia perlu bagi memastikan tujuan Akta FOI tidak mudah disekat oleh kuasa budi bicara kerajaan di bawah OSA, di mana bahan yang diisytiharkan sebagai rahsia negara dihalang daripada didedahkan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS