Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU pemisahan pendakwa raya-AG, had penggal PM dibentang tahun ini
Diterbitkan:  Jan 5, 2026 1:03 PM
Dikemaskini: 5:15 AM

Pemisahan peranan peguam negara dan pendakwa raya serta mengehadkan tempoh perdana menteri kepada 10 tahun antara undang-undang yang akan cuba digubal di parlimen tahun ini ketika pentadbiran Madani cuba menunaikan janji pilihan rayanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata undang-undang untuk memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya akan menjadi yang pertama dibentang dalam sesi parlimen bulan ini, sementara had tempoh dua penggal jawatan perdana menteri akan menyusul dalam masa terdekat.

"RUU pertama akan dibentangkan (tahun ini), pemisahan kuasa pendakwa raya dan peguam negara," kata Anwar semasa pengumuman khas tahun baru di Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Dua undang-undang lain yang juga dijangka dibentangkan dan diluluskan tahun ini ialah rang undang-undang kebebasan maklumat (FOIA) dan penubuhan Ombudsman Malaysia.

Anwar berkata, RUU Ombudsman merupakan satu institusi yang sudah diperkenal di zaman pemerintahan Islam yang akan memberi ruang kepada rakyat untuk membangkitkan sebarang permasalahan.

"(Ombudsman) institusi yang memberi ruang kepada rakyat membangkitkan apa saja permasalahan kerana tanpa kecuali dari PM hingga ke bawah harus dipertanggungjawabkan dan boleh dipersoal.

"Berikutnya FOIA, banyak yang melahirkan rasa bimbang tapi saya nak bagi jaminan soal keselamatan negara, soal risikan tentunya kita harus beri pengecualian.

"Tetapi soal tender, soal kontrak, projek, mengelak daripada penyalahgunaan kuasa... RUU FOIA akan dibentangkan untuk kelulusan parlimen pada tahun ini juga," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS