Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tei cabar Anwar tangkap, dakwa 13 lagi ahli politik terpalit skandal rasuah Sabah
Diterbitkan:  Jan 6, 2026 4:22 PM
Dikemaskini: 8:22 AM

Ahli perniagaan, Albert Tei mencabar Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk menahan dan mendakwa ahli politik yang terpalit dalam skandal perlombongan Sabah, bagi membuktikan komitmennya dalam melawan rasuah.

Dalam kenyataan hari ini, Tei mempersoalkan kewibawaan agenda reformasi Anwar, dengan membangkitkan hanya dua daripada 15 ahli politik yang didakwa terlibat dalam skandal itu yang diheret ke mahkamah.

Malah, katanya lagi, ada yang masih memegang jawatan kanan dalam kerajaan Sabah, termasuk menteri.

“Rakyat melihat ketegasan dan pembaharuan yang berulang kali dilaungkan Perdana Menteri sekadar sandiwara, tanpa menghasilkan sebarang keputusan atau manfaat sebenar untuk negara.

“Jika Anwar benar-benar bertekad memerangi rasuah, maka tangkap dan dakwa baki ahli Parlimen yang kini memegang jawatan sebagai timbalan ketua menteri dan menteri kanan di Sabah, yang dikaitkan dengan skandal rasuah lesen penerokaan mineral yang didedahkan sejak November 2024,” katanya.

Tei turut membidas SPRM, dengan menuduh suruhanjaya itu mengamalkan piawaian berbeza dalam siasatannya.

Dia berkata penguatkuasaan SPRM masih perlahan, walaupun dia telah menyerahkan bukti seperti dakwaan jejak kewangan, perhubungan rasmi dan menerusi WhatsApp, serta rakaman video.

Setakat ini, dua ahli politik yang terpalit dengan skandal itu dan telah didakwa di mahkamah adalah Adun Tanjung Batu, Andi Suryady Bandy dan Adun Sindumin, Yusof Yacob.

Andy Suryady Bandy dan Yusof Yacob

Antara lain yang turut dikaitkan adalah Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Masidi Manjun; Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Joachim Gunsalam; Menteri Pembangunan Luar Bandar Rubin Balang; serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Arifin Arif, yang juga merupakan menantu kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Musa Aman.

Turut didakwa terlibat adalah bekas timbalan ketua menteri III Shahelmey Yahya; Adun Tempasuk Arsad Bistari; Adun Kuamut Masiung Banah; serta Yang Dipertua DUN Kadzim Yahya.

Tei turut menamakan beberapa pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (Star) sebelum inii, termasuk presiden, Jeffrey Kitingan, dan dua timbalan, Ellron Alfred Angin dan Robert Tawik, serta bekas presiden Maximus Ongkili dan bekas timbalan presiden Jahid Jahim.

Meneruskan kritikan terhadap Anwar, Tei berkata slogan reformasi kini telah berubah menjadi “reformati” selepas tiga tahun mentadbir negara.

“Saya telah menunggu selama 14 bulan. Berapa lama lagi saya perlu menunggu?

“Sebagai generasi muda, saya menggesa Anwar menunjukkan keikhlasan dan ketelusan dalam melaksanakan pembaharuan yang telah diperjuangkannya selama berdekad. Generasi muda hari ini amat kecewa dengan tindakan Perdana Menteri,” katanya.

Semalam, Anwar sekali lagi mengingatkan pihak penguatkuasa agar tidak melampau batasan dalam melaksanakan tugas, berikutan peningkatan aduan mengenai dakwaan salah laku mereka.

Pada 28 November lalu, pasukan SPRM menyerbu dan menahan Tei di rumahnya, dengan ahli perniagaan itu mendakwa ada anggota mengacukan senjata ke arahnya dan ahli keluarganya.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, menafikan dakwaan itu dan menegaskan penahanan tersebut dijalankan mengikut prosedur.

Pada bulan lalu, Tei didakwa memberi rasuah kepada bekas setiausaha politik Anwar, Shamsul Iskandar Md Akin, yang turut didakwa menerima rasuah daripada ahli perniagaan itu. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS