Jika sebelum ini, Pemuda DAP mencabar Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh supaya segera meletakkan jawatan sebagai exco kerajaan negeri Melaka, kali ini giliran Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan pula berbuat demikian.
Ketuanya, Ezzat Hanuzi, berkata ini bagi membolehkan Adun Merlimau dan exco kemajuan desa, pertanian dan keterjaminan makanan, kerajaan negeri Melaka itu bergerak sebagai wakil rakyat biasa.
“Saya cadangkan Akmal melepaskan jawatan sebagai exco Melaka supaya dapat berkhidmat sebagai YB biasa dan belajar cara menjadi pembangkang yang bermaruah, tanpa keistimewaan dan peruntukan khas.
“Akmal juga boleh berikan arahan kepada semua Pemuda Umno di setiap bahagian supaya melepaskan jawatan mereka dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan bergeraklah sebagai pembangkang bermaruah.” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Ezzat, dia yakin bukan semua Pemuda Umno di peringkat bahagian bersetuju dengan kenyataan ketua pemuda Umno itu, namun ramai memilih untuk berdiam diri, sama ada kerana menghormati kedudukannya atau bimbang terhadap kedudukan masing-masing.
Sabtu lalu, Pemuda Umno mengadakan konvensyen khas dengan Akmal kemudian menggesa parti itu meninggalkan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bergabung dengan PAS sebagai pembangkang.

Bagaimanapun semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamid memaklumkan bahawa partinya tidak mahu mengulangi kesilapan lalu dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang ketika ini.
Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata setiap keputusan yang bakal dibuat akan diteliti secara menyeluruh dan berhati-hati bagi mengelakkan Umno "dipatuk oleh ular yang sama buat kali kedua di tempat yang sama".
Mengulas lanjui, Ezzat berkata, pandangan Akmal sangat berbeza dengan pandangan presiden Umno dan pimpinan lain.
Awal hari ini Pemuda DAP mencabar Akmal supaya segera meletakkan jawatan sebagai exco kerajaan negeri Melaka sekiranya dia benar-benar berpegang kepada prinsip untuk meninggalkan kerajaan Perpaduan.
“Sekiranya Akmal benar-benar berprinsip, dia boleh meletakkan jawatan exco serta-merta tanpa perlu menunggu lagi.
“Jika masih kekalkan jawatan sedia ada, maka dia harus menelan semula apa yang pernah diungkap dan menghentikan segala tindakan dan retorik yang hanya berniat untuk merosakkan usaha kerajaan terhadap agenda reformasi dan kesejahteraan rakyat,” kata Pemuda DAP.
Dalam nada sinis, Ezzat juga membandingkan pendekatan Akmal dengan tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang meninggalkan partinya, menubuhkan parti baharu dan bertanding atas tiket sendiri.

“Itu contoh keberanian dan konsistensi dalam soal maruah.
“Tunggu apa lagi, YB Dr Akmal? Jangan asyik mengugut tanpa tindakan nyata,” katanya lagi.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan, Akmal memberi bayangan kemungkinan meletak jawatan dengan mengatakan beliau mungkin sudah sampai ke tahap di mana perlu memberi laluan.
Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Akmal berkata, dia sudah melakukan yang terbaik untuk menyampaikan pesannya dan mencadangkan sebarang kekurangan mungkin terletak pada dirinya sendiri, sambil menambah bahawa mungkin sudah tiba masanya untuk berundur.
