Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh tanpa berlapik lagi menggesa parti itu meninggalkan kerajaan perpaduan dan menjadi pembangkang bagi membina kembali kekuatan parti mereka.
Berucap pada Konvensyen Khas Pemuda Umno yang membincangkan hala tuju Umno dalam kerajaan perpaduan di Kuala Lumpur, dia mengingatkan ahli dan pemimpin partinya untuk tidak gentar menjadi pembangkang.
Apatah lagi katanya, “garis merah” yang ditetapkan Umno telah dilanggar oleh pihak tertentu dalam kerajaan perpaduan khususnya DAP.
"Apabila prinsip kerjasama mula dicabuli, maruah kita tak dihormati, maka cukuplah Umno (bersama kerajaan perpaduan), biar mereka tadbir kerajaan ini, kita jadi pembangkang.
"Hei orang Umno bukan penakutlah (untuk jadi pembangkang)... abang-abang saya jangan takut jadi pembangkang, biarlah setapak ke belakang untuk kita melompat lebih tinggi ke hadapan," katanya.
Akmal turut mendakwa hasrat meninggalkan kerajaan perpaduan disuarakan oleh akar umbi Umno.
"Insya-Allah dalam dua tahun kita rampas kembali kerajaan," tambahnya.
Malaysiakini difahamkan konvensyen hari ini adalah sebahagian dari proses ke arah keputusan mengenai hala tuju Umno dalam kerajaan perpaduan menjelang Perhimpunan Agung Umno pada pertengahan Januari ini.
Agenda penyatuan Melayu
Akmal dalam ucapannya menegaskan bahawa penyatuan Melayu perlu dimulakan oleh Umno dan PAS sebagai dua parti terbesar orang Melayu.
"Penyatuan orang Melayu perlu dimulakan oleh parti Melayu terbesar, Umno dan PAS perlu menjadi pelopor.
"Jika penyatuan Umno dan PAS, saya percaya orang Melayu akan kembali bertaut semula," katanya.
Katanya, orang Melayu sebagai kaum majoriti di negara ini hanya tinggal angka jika mereka terus berpecah tanpa usaha penyatuan.
"Apabila dua parti Melayu berpecah yang rugi bukan gol elitis, yang rugi kita diakar umbi," katanya lagi.
Pada 25 Dis lalu, Akmal mencadangkan agar Perikatan Nasional (PN) dibubarkan berikutan kemelut terbaru dalam gabungan itu, terutamanya berkaitan isu jawatan Menteri Besar Perlis.
Akmal dalam satu hantaran di Facebook sebelum ini membangkitkan bahawa sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 Umno telah menggesa PAS supaya memperkasakan Muafakat Nasional dan bukan PN.
“Hari ini, baru nampak belang masing-masing, kena tikam belakang,” katanya, merujuk kepada lapan Adun PN yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis sebelum ini, Shukri Ramli dari PAS - yang seterusnya digantikan oleh Abu Bakar Hamzah dari Bersatu.
“Alang-alang bubar sekalilah Perikatan Nasional, kita wujudkan semula Muafakat Nasional. Amacam?” tambahnya.
Cadangan itu disambut Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari dengan memberikan syarat untuk Umno keluar daripada PH terlebih dahulu.
"Saya sangat setuju dengan cadangan hidupkan semula Muafakat Nasional ini. Inilah kunci kekuatan dan kebangkitan semula Perpaduan Ummah. Tahniah Ketua Pemuda Umno. Hidupkan kembali rundingan, tubuh JK Perunding.
"Sebaik sahaja Umno/BN isytihar keluar dari gabungan bersama PH, kita lancarkan terus Muafakat Nasional," katanya.
MN ditubuhkan oleh Umno dan PAS pada 2019, yang menandakan satu pencapaian dalam mengukuhkan kerjasam politik Melayu selepas beberapa dekad persaingan antara kedua-dua parti.
Bagaimanapun, selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dan pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri pada 2020, PAS memilih untuk bekerjasama dengan Bersatu dan membentuk PN — satu langkah yang dianggap Umno sebagai pengkhianatan.
PAS juga menggesa supaya Bersatu dimasukkan dalam MN, namun ditentang oleh Umno.
Pakatan itu berakhir pada Disember 2022 apabila Umno menyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim, sebagai perdana menteri.
Pemimpin PAS berulang kali mengutarakan idea untuk menghidupkan semula MN, walaupun Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menyatakan ia tidak boleh melibatkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
