Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan rasa syukur selepas Pejabat Peguam Negara mengumumkan tiada tindakan lanjut (NFA) berhubung pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah, dan pengubahan wang haram terhadapnya.
“Syukur alhamdulillah. Masa akhirnya menjawab segalanya, kebenaran terbukti jua,” katanya ringkas di Facebook.
Susulan perkembangan hari ini, Zahid juga dilaporkan akan memfailkan permohonan untuk mendapatkan pembebasan penuh bagi kes tersebut.
Menurut Free Malaysia Today, peguam Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata pihaknya akan memfailkan permohonan bagi menukar pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) yang diberikan kepada Zahid sebelum ini kepada lepas dan bebas (DAA).
“Kami akan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat untuk mendapatkan DAA,” katanya seperti dipetik.
Hari ini, AGC berkata pihaknya tidak akan meneruskan tindakan lanjut berhubung DNAA yang diberikan kepada Zahid bagi 47 pertuduhan terhadapnya berkaitan dana Yayasan Akalbudi pada 2023.
AGC merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 4 September 2023, serta siasatan terperinci yang dijalankan oleh SPRM merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan dan penggunaan dana berkenaan dalam membuat keputusan tersebut.
Menurut AGC, siasatan susulan yang dibuat selepas keputusan DNAA juga merangkumi perkara yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan selepas Zahid dipanggil untuk membela diri.
Ia termasuk Skop dan fokus siasatan pada peringkat awal, Pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang telah direkodkan pada peringkat awal, Langkah-langkah siasatan lanjut dan terperinci yang kemudiannya dijalankan oleh SPRM serta dapatan hasil siasatan lanjut tersebut.
Zahid diberikan DNAA pada 4 September 2023. Pendakwa utama pada masa itu ialah Dusuki Mokhtar, yang menggantikan Raja Rozela Raja Toran.
Ketika itu, timbul dakwaan bahawa Raja Rozela telah digugurkan daripada kes tersebut.
Bagaimanapun, peguam negara ketika itu, Idrus Harun menegaskan yang Rozela tidak digugurkan, tetapi telah memohon persaraan awal.
Idrus berkata keputusan untuk menggantikan Rozela dengan Dusuki dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor dan pertimbangan sewajarnya.
Dusuki kemudian dilantik sebagai Peguam Negara pada November 2024.
