Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi - yang sebelum ini dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).
Dalam kenyataan hari ini, AGC merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 4 September 2023, serta siasatan terperinci yang dijalankan oleh SPRM merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan dan penggunaan dana berkenaan dalam membuat keputusan tersebut.
“Jabatan ini memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut ("No Further Action") akan diambil berhubung kes berkenaan.
“Keputusan ini dengan sekaligus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan, selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan,” kata AGC.
Menurut AGC, siasatan susulan yang dibuat selepas keputusan DNAA juga merangkumi perkara yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan selepas Zahid dipanggil untuk membela diri.
“Setelah meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baru yang diperolehi hasil daripada siasatan lanjut dan penelitian tersebut, jabatan ini, berdasarkan penilaian dan pertimbangan pendakwaan, mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut,” katanya.
AGC berkata perkara yang dipertimbangkan antaranya adalah:
Skop dan fokus siasatan pada peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan yang difailkan.
Pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang telah direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian, dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan penerusan pendakwaan.
Langkah-langkah siasatan lanjut dan terperinci yang kemudiannya dijalankan oleh SPRM bagi melengkapkan dan memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks dan keterangan baru kes.
Dapatan hasil siasatan lanjut tersebut yang merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan serta operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangandana ke dalam yayasan dari semasa ke semasa.
“Jabatan ini menegaskan keputusan yang diambil adalah berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang, dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan, serta keperluan untuk memastikan kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah,” katanya lagi.
‘Zahid masih boleh didakwa nanti’
Mengulas perkembangan ini, seorang peguam berkata keputusan NFA tidak bermakna Zahid tidak boleh didakwa di mahkamah nanti.
Hafiz Zainol Abidin berkata Peguam Negara masih mempunyai kuasa untuk meneruskan pendakwaan, memandangkan kes Zahid hanya diberikan DNAA.
“Pendakwaan berada di bawah kuasa Peguam Negara. Sebelum ini kes-kes tersebut hanya diberikan DNAA, bukan pelepasan dan pembebasan.
“Jika hanya DNAA, dia masih boleh didakwa, tertakluk kepada kuasa Peguam Negara.
“Tetapi itu mungkin hanya berlaku di bawah Peguam Negara yang lain, bukan yang sekarang (Dusuki Mokhtar), kerana dia telah memutuskan untuk menghentikan kes-kes ini,” kata Hafiz kepada Malaysiakini.
Pada Selasa lalu, Zahid menegaskan Umno akan kekal dalam kerajaan sehingga akhir penggal.
Susulan itu, Pengarah Pilihan Raya PAS, Sanusi Nor, berkata bahawa “beban undang-undang” Zahid menjadi faktor dalam keputusan Umno untuk kekal bersama kerajaan.
Akmal sambut baik
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, berkata keputusan AGC membuktikan pertuduhan terhadap Zahid adalah “bermotif politik” dan tiada bukti mencukupi.
“Alhamdulilah akhirnya kebenaran terjawab juga…Doa orang yang teraniaya pasti dimakbulkan,” katanya di Facebook.
Pemimpin Pejuang, Rafique Rashid Ali, pula mempersoalkan mengapa kes itu tidak dibawa ke hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah untuk pertimbangan mahkamah.
