Kerajaan Selangor tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha mempromosikan budaya dan nilai yang dilihat songsang dan bertentangan dengan norma masyarakat.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi, berkata demikian dengan merujuk kepada program ‘Glamping With Pride’ yang dijadualkan diadakan di Hulu Langat pada hujung minggu depan.
“Saya telah berhubung dengan pihak polis dan minta pihak berkuasa jalankan siasatan serta ambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu hari ini, Sebuah kumpulan pro lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) menyatakan program itu akan tetap diteruskan walaupun mendapat bantahan daripada PAS Selangor.
Kumpulan dikenali sebagai Jejaka itu menegaskan program dua hari itu adalah retreat berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya, dan kesedaran kesihatan, dan ia tidak melanggar undang-undang.
“Program ini melibatkan aktiviti perkhemahan yang sah di tempat yang berdaftar dan tidak melanggar mana-mana undang-undang Malaysia. Perkhemahan, perhimpunan dan pendidikan komuniti adalah aktiviti sah di negara ini,” kata kumpulan itu.
Semalam, Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, menyifatkan program itu mempromosikan gaya hidup songsang secara terang-terangan, dan pihaknya telah menggerakkan anggotanya untuk membuat laporan polis terhadap acara tersebut.

Sementara itu, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Mohammad Fahmi Ngah, berkata polis telah diarahkan untuk memantau dan menyiasat acara tersebut jika berlaku sebarang unsur yang melanggar undang-undang.
Menurut Harian Metro, Fahmi berkata polis ada bidang kuasa yang luas bagi mengekang sebarang unsur yang melanggar undang-undang berhubung acara itu.
"Dalam (penganjuran) program itu, yang dimaklumkan tidaklah kata pesta tukar pakaian ke, pesta tak tentu hala (sebaliknya) katanya nature (alam semula jadi).
"Jadi kita kena pastikan dia menepati apa yang dikata," katanya seperti dipetik.
