MALAYSIANSKINI | Berbekalkan tangki petrol penuh dan keimanan, Anita Yusof, 58, memacu motosikal kesayangannya, Yamaha FZ150 — seringkali bermula seawal subuh — dalam perjalanan kedua Global World Ride merentasi tujuh benua.
Anita menyeberangi sempadan Malaysia untuk pulang ke kampung halamannya di Johor pada 27 Dis 2025, dengan motosikalnya masih diselaputi lumpur selepas berjaya mengelak banjir di Sumatera dalam perjalanan terakhirnya merentasi Indonesia.
Dia mula menunggang motosikal selepas menanam impian untuk mengembara ke Kyrgyzstan, dan kemudian memulakan jelajah dunia pertamanya pada 2015 — hanya tiga tahun selepas belajar menunggang motosikal.
Dia mengambil cuti selama setahun untuk mengembara merentasi empat benua, 40 negara dan sejauh 65,269km. Pengalaman itu mengubah dirinya dan dia dan kemudian sukar untuk kembali kepada rutin lamanya sebagai seorang guru.

Anita kemudian memilih untuk bersara awal dan menghabiskan tiga tahun menyimpan wang bagi jelajah dunia kedua yang lebih santai, masih dengan motosikal yang sama.
Pada 2019, dia memulakan kembara kedua itu dengan memilih Cape Town, Afrika Selatan sebagai titik permulaan, memandangkan Afrika merupakan satu-satunya benua yang tidak sempat diterokainya dalam jelajah pertama akibat kekangan masa dan kewangan.
Dalam temu bual bersama Malaysiakini, Anita mengimbas kembali yang salah satu episod penting buat dirinya berlaku pada awal 2022, ketika kembara merentasi sempadan terjejas akibat sekatan Covid-19.
“Apabila saya memulakan perjalanan pada Disember 2019, selepas beberapa bulan di jalanan, Covid melanda dunia. Saya mengembara dari Afrika Selatan melalui 14 negara sehingga tiba di Ethiopia — dan ketika itulah ia melanda.
“Saya berbincang dengan beberapa rakan — penunggang motosikal dari negara lain — tetapi ketika itu kami semua ada di seluruh Afrika: ada di Uganda, ada di Afrika Selatan, ada di Namibia.
“Selepas itu, saya buat keputusan, ‘Baiklah, saya akan tinggalkan motosikal saya di Ethiopia.’ Saya ada seorang rakan di sana,” katanya.

Anita akhirnya ‘terperangkap’ di Tanzania selama 13 bulan, di mana dia menyiapkan sebuah travelog, sebelum ancaman perang yang semakin hampir di Ethiopia memaksanya pulang atau berisiko kehilangan motosikal kesayangannya.
“Jadi pada Januari 2022 saya kembali ke Ethiopia,” katanya, mengimbas kembali permulaan kembara Ramadan menuju ke Mekah.
“Saya ambil masa tiga minggu untuk dapatkan kebenaran dan menerbangkan motosikal saya ke Jeddah, Arab Saudi.
“Saya tidak boleh menyeberangi sempadan Ethiopia. Jadi saya terpaksa terbangkan motosikal.
“Oleh kerana kerajaan Arab Saudi melarang penerbangan dari Ethiopia, saya perlu pergi ke negara lain yang tidak dikenakan larangan oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Anita berkata dia kemudian ke Mesir, di mana dia dikuarantin selama dua minggu dan menjalani ujian Covid sebelum dibenarkan terbang ke Jeddah.
Setibanya di Arab Saudi, dia perlu melalui satu lagi tempoh kuarantin sebelum dapat mengambil motosikalnya.
Ke Mekah
Anita berkata dia menangguhkan perjalanan dari Jeddah apabila Ramadan semakin hampir, kerana ingin menunggang dalam bulan suci itu dan menunaikan umrah.
“Dan pada hari kedua Ramadan, saya bertolak dari Jeddah ke Mekah. Memang saya mahu kembara di bulan suci Ramadan. Saya mahu menunaikan umrah,” katanya.
Mengimbas kembali apa yang berlaku selepas itu, dia yang telah menulis beberapa buah buku mengenai pengembaraannya itu menggambarkan pengalaman tersebut dari sudut kerohanian.
“Saya percaya kerana ketabahan saya, kesabaran saya… akhirnya Tuhan mengurniakan kepada saya perkara-perkara yang seolah-olah magis. Ia satu keajaiban,” katanya.
