Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM jangka dapat semula RM5b dari baki RM12b dana 1MDB yang lesap
Diterbitkan:  Jan 11, 2026 2:27 PM
Dikemaskini: 9:08 AM

SPRM menjangka dapat mendapatkan semula RM5 bilion daripada baki RM12 bilion dana berkaitan skandal 1MDB yang masih belum diperolehi, kata ketua pesuruhjayanya, Azam Baki.

Menurut Azam, dia tidak pasti sama ada jumlah RM5 bilion itu dapat diambil semula dalam tahun ini atau tidak, namun memberi jaminan usaha sedang giat dijalankan bagi mendapatkan semula aset yang hilang ekoran skandal berkenaan dengan segera.

"Keseluruhan dana 1MDB yang diseleweng dan dikesan adalah sekitar RM42 bilion dan kita sudah berjaya memulihkan dana termasuk aset sekitar RM30 bilion.

Jadi, bermakna ada lagi baki RM12 bilion, namun kita jangkakan akan memperoleh sekitar RM5 bilion lagi,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam episod terbaru podcast Borak Hari Ini oleh akhbar tersebut.

Pada 26 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bekas perdana menteri Najib Razak bersalah atas keempat-empat pertuduhan salah guna kuasa serta kesemua 21 pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan dengan skandal 1MDB.

Najib dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda keseluruhan RM11.38 bilion bagi empat kesalahan salah guna kuasa tersebut.

Dalam penghakimannya, hakim Collin Lawrence Sequerah antara lain mendapati wujud hubungan yang jelas antara Najib dan ahli perniagaan yang dikehendaki, Low Taek Jho (Jho Low), yang didakwa menjadi dalang skandal itu.

Sebahagian besar dana daripada Obaid, keluarga Low

Mengulas lanjut, Azam berkata jumlah RM5 bilion itu datang daripada beberapa individu, termasuk pengarah PetroSaudi International Ltd, Tarek Essam Ahmad Obaid, serta keluarga Low.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak AS$600 juta (kira-kira RM2.4 bilion) akan diperoleh daripada Obaid, katanya.

Pada Oktober lalu, SPRM memperoleh perintah mahkamah untuk membekukan urus niaga 2.5 juta saham dalam Palantir Technologies Inc yang didaftarkan atas nama Obaid, berdasarkan maklumat bahawa individu berkenaan telah menerima, memindahkan dan menggunakan hasil penyelewengan dana 1MDB pada 2010.

Obaid merupakan pengasas bersama PetroSaudi International, syarikat minyak Arab Saudi yang menjalankan usaha sama dengan 1MDB pada 2009.

Siasatan kemudian mendapati berbilion ringgit telah diselewengkan daripada perjanjian tersebut, menandakan bermulanya skandal 1MDB melibatkan dana berbilion dolar.

Pada masa itu, Petrosaudi digambarkan sebagai rakan strategik yang akan memberikan 1MDB akses kepada pasaran tenaga antarabangsa.

Bagaimanapun, dokumen yang dibocorkan serta siasatan di beberapa negara menunjukkan usaha sama itu digunakan sebagai platform untuk mengalihkan berbilion dana ke dalam akaun yang dikawal oleh Low dan sekutunya.

‘Switzerland pun bantu’

Sementara itu, Azam berkata akaun milik ahli keluarga Low akan diserahkan kembali kepada kerajaan dalam masa terdekat.

Dia berkata pasukan pegawai SPRM kini sedang berunding mengenai penyelesaian itu dengan Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Azam memuji kerjasama yang diberikan negara-negara lain, dan berkata negara yang terkenal sukar untuk bekerjasama seperti Switzerland sekalipun telah “buka pintu” untuk bekerjasama.

"Seperti yang saya katakan, saya mahu ia diselesaikan segera tanpa ada penangguhan. 

“Saya jangka dengan beberapa individu yang terbabit, SPRM akan memperoleh semula dana 1MDB berjumlah RM2.8 bilion dahulu," katanya lagi.

Proses itu bukanlah sesuatu yang mudah, katanya lagi, kerana ia melibatkan usaha mendapatkan semula aset daripada penjenayah.

Walaupun berkata dia tiada sebarang penunjuk prestasi utama (KPI) untuk dicapai, Azam berpendapat kadar pemulihan aset sekitar 70 peratus merupakan satu usaha yang baik.

Pengiraan ringkas oleh Malaysiakini menunjukkan 70 peratus daripada RM42 bilion yang hilang dalam skandal itu berjumlah RM29.4 bilion, sedikit di bawah RM30 bilion yang telah berjaya diperoleh semula oleh suruhanjaya tersebut. Ini bermakna SPRM telah pun mencapai sasaran berkenaan.

Pada masa sama, Azam berkata antara kesukaran yang dihadapi SPRM dalam usaha mendapatkan semula dana itu berpunca daripada rangkaian transaksi yang rumit.

Bukan setakat pergi ke rumah orang dapat rampas duit. 

“Pengesanan juga termasuk kepada wang dihilangkan dengan membentuk pelbagai akaun diletakkan dalam nama proksi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS