Amanah mendakwa keputusan PAS menolak untuk menyertai kerajaan Perlis menunjukkan parti itu mengambil pendirian bukan sekadar kerana perbezaan politik.
Sebaliknya, kata Mahfuz Omar, ia didorong oleh “politik dendam” yang menghukum pentadbiran negeri dan tidak hanya ditujukan kepada Bersatu.
Naib Presiden Amanah itu menjelaskan sebelum ini Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberitahu yang parti itu menolak sebarang tawaran jawatan dalam kerajaan Perlis kerana menganggap sudah berlaku “pengkhianatan” di negeri tersebut.
Sebenarnya, dakwa Mahfuz, PAS sudah berpolitik dengan melampaui batas demokrasi dan gagal memikul amanah kuasa secara bernegara.
“Apa yang sedang dilakukan PAS di Perlis bukan lagi perbezaan politik. Ia adalah politik dendam terbuka – bukan sahaja terhadap Bersatu, tetapi turut menghukum pentadbiran negeri, membelakangkan titah raja dan mengorbankan kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 30 Dis lalu PAS mengumumkan pendirian parti tersebut untuk tidak menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Perlis yang dibentuk Pengerusi Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah selalu menteri besar baru.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata keputusan itu diambil sebagai tanda solidariti mereka terhadap pengunduran Mohd Shukri Ramli dari jawatan Menteri Besar Perlis.
"PAS tidak akan menganggotai majlis exco yang akan dibentuk oleh menteri besar Perlis yang baru.
"Semua anggota exco sedia ada dari PAS akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan mantan menteri besar yang lepas," katanya.

Abdul Hadi pula menganggap perkembangan politik yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu berpunca daripada pengkhianatan.
Kata Mahfuz, dalam sistem demokrasi berperlembagaan, kerajaan wujud untuk berfungsi, manakala jawatan exco bukan ganjaran politik tetapi tanggungjawab kepada rakyat.
Justeru, katanya, apabila PAS sengaja memilih untuk menolak peranan tersebut, parti itu sebenarnya bukan mempertahankan prinsip sebaliknya melarikan diri daripada amanah.
Mahfuz turut mendakwa tindakan PAS bercanggah dengan titah Raja Perlis yang menegaskan bahawa wakil rakyat perlu mengutamakan kepentingan negeri dan rakyat berbanding parti.
“Apabila PAS memilih kesetiaan kepada individu dan emosi politik mengatasi kestabilan negeri, ia bukan sekadar menunjukkan kegagalan kepimpinan, sebaliknya pengkhianatan terhadap semangat demokrasi beraja.
“Ini bermakna PAS juga berdendam kepada Tuanku Raja Perlis, sedangkan yang mencetuskan krisis politik di negeri itu ialah PAS,” katanya.
Tambah Mahfuz, PAS walaupun mendakwa mereka komited kepada kerajaan negeri, tindakan yang diambil mereka sebaliknya melumpuhkan pentadbiran sedia ada dan bercanggah dengan tanggungjawab mereka.
“Perlis hari ini menjadi contoh paling jelas bahawa PAS tidak mampu, tidak bersedia dan tidak layak untuk menguruskan kuasa,” katanya.
