Dikemas kini dengan tambahan kenyataan peguam.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan komitmennya untuk mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi pengeluaran MyKad kepada seorang individu berusia 17 tahun yang dikenali sebagai CJ.
Penjelasan itu dibuat selepas peguam remaja itu menggambarkan JPN enggan mengikuti perintah mahkamah dengan kerenah birokrasi dan memberikan pelbagai borang, tetapi tidak borang permohonan MyKad.
JPN menjelaskan bahawa jabatan itu menghormati keputusan mahkamah bertarikh 8 Disember tahun lalu dan bersedia melaksanakannya dalam tempoh 30 hari selepas permohonan dibuat secara rasmi oleh individu terbabit.
Bagaimanapun, JPN memaklumkan bahawa proses tersebut memerlukan pembetulan rekod terlebih dahulu berikutan terdapat isu “penipuan dokumen” semasa permohonan sijil kelahiran dibuat pada tahun 2008.
"Jabatan ini tidak boleh terus mencetak dan mengeluarkan MyKad tanpa melengkapkan proses pembetulan rekod dan pendaftaran yang diperlukan, khususnya dalam kes yang melibatkan ketidakselarasan atau penipuan dokumen sebelum ini," kata JPN dalam kenyataan hari ini.
Menurut JPN, penipuan tersebut melibatkan pengeluaran bukti kelahiran secara tidak sah oleh sebuah fasiliti perubatan yang disenarai hitam oleh jabatan berkenaan.
Katanya, isu tersebut menjadi asas kepada ketidakselarasan dokumen sebelum status kewarganegaraan individu itu dibawa ke mahkamah.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas pihak CJ berkaitan dakwaan penipuan dokumen ini.
Pagi tadi, peguam Latheefa Koya, N Surendran, dan Zaid Malek mendakwa JPN Putrajaya sengaja menghalang proses tersebut dengan enggan memberikan borang permohonan MyKad.

Sebaliknya, dakwa peguam, JPN menyuruh CJ dan ibunya melengkapkan pelbagai borang lain yang tidak diperlukan oleh perintah mahkamah, melibatkan 62 kategori dokumen bawah 24 kategori borang yang berbeza.
Remaja itu, ibunya dan barisan peguam mereka akan sekali lagi hadir ke JPN Putrajaya esok untuk proses permohonan CJ.
Mereka mengancam untuk memulakan prosiding komital (menghina mahkamah) jika tidak berjaya mendapatkan borang permohonan MyKad esok.
Selain itu, kata JPN, memandangkan CJ telah berusia lebih 16 tahun, permohonan kad pengenalannya tertakluk kepada prosedur pendaftaran lewat kad pengenalan bawah kerangka perundangan sedia ada.
“JPN ingin memberi jaminan bahawa tiada keingkaran terhadap perintah mahkamah
berlaku dan semua tindakan sedang dilaksanakan secara teratur, berhemah serta
selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
‘Bukan wakil rakyat saja boleh tandatangan’
Sementara itu, berkaitan keperluan tandatangan wakil rakyat dalam permohonan CJ, JPN berkata terdapat ramai lagi pihak boleh menjadi saksi bagi pendaftaran lewat.
Ia termasuk, katanya, majikan, ketua kaum, penghulu, atau pegawai kerajaan kumpulan pengurusan dan profesional.
JPN memberi jaminan bahawa tiada keingkaran terhadap perintah mahkamah berlaku dan semua tindakan sedang dilaksanakan secara teratur bagi memastikan integriti rekod negara terpelihara.
Berikut kronologi perkembangan terkini proses permohonan tersebut, menurut JPN:
CJ hadir ke kaunter Bahagian Kad Pengenalan JPN Putrajaya pada 8 Januari untuk menyerahkan perintah mahkamah.
JPN menyerahkan borang permohonan dan senarai semak pendaftaran lewat untuk dilengkapkan.
Sehingga hari ini, JPN belum menerima borang permohonan lengkap daripada pihak CJ untuk tindakan lanjut.
JPN bagaimanapun tidak menjawab dakwaan terdapat seorang pegawainya menengking ibu remaja itu dalam satu kunjungan.
‘Helah dan dalih’
Sementara itu, Latheefa dalam reaksi segeranya kepada Malaysiakini menyifatkan jawapan JPN hari ini sebagai “helah dan dalih” semata-mata.
“Sebaliknya penipuan adalah di pihak JPN kerana langsung tidak ada apa-apa penipuan dari pihak CJ.
“Hakikatnya ialah mahkamah telah menolak tuduhan JPN dan membenarkan permohonan CJ,” katanya.
Latheefa yang juga bekas ketua pesuruhjaya SPRM juga berkata kenyataan JPN menunjukkan mereka tidak menghormati, ”dan bersamaan dengan penghinaan” terhadap mahkamah.
