Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Peguam Negara (AG) Dusuki Mokhtar menegaskan keputusan untuk menutup kes pendakwaan 47 pertuduhan rasuah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berhubung dana Yayasan Akalbudi tidak dibuat "secara suka-suka".

Sebaliknya, jelasnya, kes yang sebelum ini dikategorikan sebagai "tiada tindakan lanjut" (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) itu diperhalusi semula sebelum keputusan diambil.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Pembukaan Tahun Undang-Undang 2026 di Kuala Lumpur, Dusuki turut membandingkan keputusan AGC dalam kes Zahid dengan kes-kes lain yang telah disabitkan oleh mahkamah tetapi kemudiannya disemak semula dalam rayuan.

"Ada sesetengah kes telah dipanggil bela diri dan disabitkan di peringkat Mahkamah Tinggi. Di peringkat Mahkamah Rayuan kita tengok balik ada keperluan untuk kes direduce (dikurangkan), banyak berlaku walaupun dah disabitkan.

"Jadi bila orang kata dah ada prima facie (ia tidak sepatutnya disemak semula)...ini pandangan yang tak tepat, dengan segala hormatnya.

"Jadi siasatan lanjut telah mendapati tiada keperluan untuk kes diteruskan, kes telah 'dicairkan'. Itu kita ambil keputusan NFA. Saya ambil keputusan bukan suka-suka," katanya.

Dusuki mengulangi bahawa walaupun Mahkamah Tinggi telah memerintahkan Zahid membela diri, siasatan lanjut berdasarkan enam representasi tambahan mendapati kes yang dikaitkan dengan Yayasan Akalbudi itu telah menjadi "cair".

"Kami menggunakan kuasa di bawah undang-undang, itu prima facie.

"Tetapi apabila kita tengok balik siasatan lanjut, kita dapati banyak aliran-aliran duit. Itu isu utama dia," katanya lagi.

Zahid sebelum ini dilepas tanpa bebas DNAA pada 4 September 2023. Pada masa itu, Dusuki telah mengambil alih peranan ketua pendakwa daripada Raja Rozela Raja Toran.

‘Prima facie’ adalah istilah Latin dalam konteks mahkamah bermaksud terdapat bukti yang mencukupi untuk menyokong sesuatu kes pada akhir peringkat pendakwaan.

Pada 8 Januari, AGC mengisytiharkan bahawa "tiada tindakan lanjut" akan diambil ke atas pertuduhan Zahid dan merujuk kepada siasatan terperinci yang dijalankan oleh SPRM merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan, dan penggunaan dana tersebut dalam membuat keputusan berkenaan.

Dusuki hari ini mengambil maklum bahawa pelbagai pihak telah mempersoalkan keputusan AGC, memandangkan kes prima facie telah pun dibuktikan terhadap Zahid sebelum ini.

"Kita dah tekankan dulu. Masa Zahid dituduh, ada banyak kekurangan ketika itu. Ada orang mempersoalkan mengapa ada prima facie dan sekarang kita kaji balik?

"Kita kaji balik disebabkan oleh ada representasi tadi. Ada enam representasi. Kita kaji balik fakta yang perlu kita lihat," tambahnya.

Susulan keputusan NFA tersebut, peguam Zahid, Hisyam Teh Poh Teik, berkata satu permohonan akan difailkan untuk menukar pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) awal yang diberikan kepada presiden UMNO itu kepada pembebasan penuh (DAA).

Menjawab mengenai tindakan peguam Zahid, Dusuki berkata bahawa belum ada keputusan dibuat mengenai perkara itu, dan ia hanya akan dipertimbangkan selepas permohonan tersebut difailkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS