Lawyers for Liberty (LFL) tidak akan memfailkan prosiding menghina mahkamah terhadap Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Ini berikutan anak guam NGO itu, CJ yang berusia 17 tahun, telah mengemukakan borang permohonan MyKadnya pagi ini, kata penasihat LFL, N Surendran, dalam sidang media di luar pejabat JPN Putrajaya hari ini.
Surendran berkata CJ sepatutnya menerima MyKad dalam tempoh 30 hari akan datang, selaras dengan perintah mahkamah yang diberikan oleh hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Alice Loke, bulan lalu.
Surendran melahirkan rasa kesal dan berkata CJ tidak sepatutnya perlu pergi ke mahkamah untuk mendapatkan kewarganegaraannya, sambil menyalahkan pihak yang bertanggungjawab kerana gagal mengambil tindakan mengubah dasar bagi memudahkan individu yang layak untuk mendapat status kewarganegaraan.
“Suatu ketika dahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berdiri bersama saya di jalanan memperjuangkan nasib golongan tanpa kewarganegaraan.
“Dan Perdana Menteri secara peribadi berjanji kepada saya 10 tahun lalu bahawa sebaik sahaja dia menjadi Perdana Menteri, dia akan menyelesaikan masalah kewarganegaraan bagi semua kes tertunggak hanya dengan satu tandatangan... Di manakah janji itu sekarang?” kata Surendran.
Turut hadir adalah pengasas bersama LFL, Latheefa Koya, yang mengkritik PH dengan menggesa gabungan itu menghentikan amalan dwistandard.

“Kami tidak marah pegawai bawahan JPN yang hanya mengikut arahan.
“Tetapi masalahnya ialah mereka yang berkuasa, yang secara khusus memasukkan dalam manifesto untuk mendapatkan kuasa bahawa mereka akan menyelesaikan masalah status kewarganegaraan ini, (namun) masih buat perkara yang sama seperti pihak yang mereka kritik sebelum ini dan (apabila) bertukar kuasa, mereka kembali sebagai menteri dan masih berkelakuan tidak wajar,” katanya.
Latheefa merujuk kontroversi melibatkan tujuh pemain “warisan” Harimau Malaya, di mana status kewarganegaraan mereka menjadi persoalan selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mendapati Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) didakwa mengemukakan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan mereka.
Semalam, JPN menafikan pihaknya menghalang usaha CJ untuk memohon MyKad, menyatakan pihaknya mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada dalam menangani dakwaan pemalsuan dokumen oleh ibunya, yang didakwa dilakukan pada 2008 ketika memohon sijil kelahiran remaja 17 tahun itu.
Menurut JPN, kes itu juga melibatkan dakwaan sijil kelahiran tidak sah yang dikeluarkan oleh sebuah hospital di Kuala Lumpur, yang menurut JPN telah disenarai hitam.
Sehubungan itu, JPN berkata pihaknya perlu membuat pembetulan dan pengesahan dokumen terlebih dulu sebelum dapat mengeluarkan sebarang dokumen pengenalan diri.
Saifuddin pula mempertahankan tindakan JPN atas alasan yang sama.
Menurut laporan Bernama hari ini, Saifuddin dilaporkan berkata JPN tiada masalah untuk mematuhi perintah mahkamah, namun proses tersebut mesti bermula dengan pengeluaran sijil kelahiran yang sah melalui pendaftaran lewat.
“Proses ini hanya melibatkan pengisian borang yang diperlukan dan pengesahan saksi. Dakwaan bahawa JPN menyukarkan prosedur atau memerlukan sokongan wakil rakyat adalah tidak benar,” katanya seperti dipetik.
Bagaimanapun, Surendran hari ini berkata CJ telah melalui satu “mimpi ngeri birokrasi” apabila JPN memberikan senarai semak yang memerlukan 62 dokumen dan 24 kategori borang.
JPN juga memberikan borang pendaftaran lewat MyKad kepada CJ, yang menurut Surendran tidak sesuai.
“Ini bukan kes pendaftaran lewat — ini kes penafian oleh kerajaan,” katanya.
Dia juga menyuarakan harapan agar kerajaan akan mengubah dasar kewarganegaraan bagi menambah baik akses kepada pemohon yang layak.
Antara masalah yang ada ialah cara kerajaan mematuhi peruntukan undang-undang secara literal tetapi mengabaikan keperluan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya lagi.
Menurutnya, ia membebankan mereka yang tiada semua dokumen yang diperlukan, khususnya penduduk di kawasan luar bandar.
