Seorang ahli parlimen veteran PKR menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menasihati Peguam Negara Dusuki Mokhtar agar tidak bertindak "sewenang-wenang atas nama kuasa budi bicara" di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, yang juga seorang peguam, mengingatkan Dusuki tentang pengajaran oleh bekas Yang di-Pertuan Agong Raja Azlan Shah semasa menjadi ketua hakim Malaya antara tahun 1979 dan 1982.
"Saya sebagai ahli parlimen meminta jasa baik perdana menteri supaya menasihati Peguam Negara merangkap Pendakwa Raya tidak bertindak sewenang-wenang atas nama kuasa budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan.
"Peguam Negara sekarang perlu merenung dan mengambil pengajaran dari kata-kata bekas Ketua Hakim Negara yang juga mantan Yang diPertuan Agong Malaysia, Almarhum Raja Azlan Shah pernah berucap semasa baginda menjadi Ketua Hakim Negara yang menyatakan sesuatu kuasa budi bicara itu adalah tidak mutlak kerana ada batas dan sempadan yang mengawalnya demi menjamin keadilan," kata Hassan.
Hasan berkata demikian sebagai respons kepada keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk memohon semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) adalah tidak berperlembagaan, menyifatkan langkah itu sebagai "sangat mengecewakan".
Semalam, pengarah eksekutif Mandiri, Amir Hariri Abd Hadi, mempersoalkan komitmen Anwar terhadap pembaharuan selepas dia dimaklumkan oleh AGC tentang semakan semula dan pendakwaan terhadapnya di bawah APA dihidupkan semula.
Amir, yang juga bekas setiausaha agung Muda, didakwa di bawah Akta tersebut pada 26 Ogos 2022, berkaitan dengan menganjurkan perhimpunan yang diadakan awal bulan yang sama, dan sejak itu telah dibebaskan.
Pada 2024, dia mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi untuk mencabar peruntukan APA di Mahkamah Persekutuan, dan mahkamah mengisytiharkan peruntukan itu sebagai tidak berperlembagaan dan tidak lagi sah pada Julai tahun lepas.
Mengulas lanjut, Hassan menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan — yang disampaikan dalam prosiding yang dipengerusikan oleh ketua hakim ketika itu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat — sebagai keputusan penting dalam bidang hak asasi manusia.
Dia berkata keputusan itu mencerminkan peranan Mahkamah Persekutuan dalam mengiktiraf Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kebebasan rakyat untuk berhimpun secara aman.
"Selepas keputusan Mahkamah Persekutuan itu saya mendapati sikap Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Dalam Negeri yang dizahirkan oleh ucapan dan pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasustion Ismail yang menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan itu merujuk kepada Section 9(5) APA.
"Ini dapat dilihat di mana Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri dalam dua contoh perhimpunan awam yang besar iaitu perhimpunan aman berkenaan rayuan (bekas perdana menteri) Najib Razak di Mahkamah Rayuan Malaysia di Putrajaya dan satu lagi perhimpunan aman yang besar "Turun Anwar" di Dataran Merdeka telah dibenarkan oleh kerajaan pusat kerana menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengiktiraf hak rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Justeru, Hassan berhujah bahawa keputusan Dusuki untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan adalah bertentangan sepenuhnya dengan pendirian kerajaan, termasuk janjinya untuk melaksanakan beberapa pembaharuan institusi dalam bidang perundangan.
"Khususnya seperti cadangan untuk memisahkan jawatan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.
"Tindakan Peguam Negara merangkap Pendakwaraya untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut saya anggap seperti satu langkah yang memalukan dan mengaibkan usaha-usaha baik perdana menteri untuk membawa reformasi yang bermakna,” tegasnya.
Hassan seterusnya membangkitkan kebimbangan mengenai sebarang percubaan oleh Jabatan Peguam Negara untuk menghidupkan semula pertuduhan terhadap Amir.
Katanya, jika ia berlaku, rakyat akan menyaksikan ketidakadilan di bawah kerajaan Madani, apabila seorang aktivis hak asasi manusia ditimpa 'double jeopardy" (pertuduhan berganda).
Terdahulu, ketua Biro Perundangan dan Aduan Awam Pemuda PKR, Khairul Naim Rafidi mempertahankan permohonan Jabatan Peguam Negara, yang difailkan di bawah Peraturan 137 Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995.
Peraturan 137 menyatakan bahawa Mahkamah Persekutuan boleh menyemak semula keputusan lalu untuk mencegah sebarang ketidakadilan atau penyalahgunaan proses.
