Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengumumkan penambahbaikan dasar penggajian ekspatriat yang menyaksikan penetapan had tempoh bekerja di Malaysia serta kenaikan mendadak struktur gaji minimum.
KDN berkata jemaah menteri pada 17 Okt tahun lalu bersetuju melaksanakan polisi baru itu yang akan berkuat kuasa 1 Jun ini bagi memberi masa persediaan mencukupi kepada majikan dan pemain industri.
Menurut kementerian, polisi penggajian ekspatriat sedia ada berasaskan keputusan Mesyuarat Majlis Ekonomi pada 20 Dis 2016 telah diperkemas menerusi siri sesi libat urus bersama pemain industri dan pihak berkepentingan sejak 2022.
"Perumusan polisi baru ini selaras dengan objektif Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan mengutamakan bakat tempatan yang berkelayakan bagi mengisi kekosongan jawatan sebelum mempertimbangkan pengambilan ekspatriat,” menurut kenyataan KDN hari ini.
Selain pelarasan gaji, KDN berkata polisi berkenaan turut memperkenalkan had tempoh pekerjaan yang khusus, yang sebelum ini tidak ditetapkan dengan jelas.
"Penetapan tempoh pekerjaan ini bukan sahaja bertujuan mengiktiraf ekspatriat berkemahiran tinggi yang terus menyumbang kepada negara, malah berfungsi sebagai panduan kepada majikan untuk merancang strategi peralihan secara tersusun dengan penglibatan bakat tempatan," kata KDN.
KDN turut memaklumkan bahawa pihaknya akan mengadakan sesi taklimat dan libat urus dengan semua pihak berkepentingan termasuk pemain industri, majikan dan agensi berkaitan bagi menjelaskan mekanisme pelaksanaan serta implikasi polisi tersebut.
Ini termasuk memastikan peralihan yang lancar dan telus tanpa menjejaskan operasi perniagaan.
"Selaras dengan prinsip Malaysia Madani, kerajaan akan terus memastikan reformasi dasar dilaksanakan secara berperingkat dan demi kepentingan negara, bagi menyokong pertumbuhan ekonomi mampan serta pembangunan modal insan tempatan jangka panjang," tambahnya lagi.
Bawah polisi baru penggajian ekspatriat:
Gaji Pas Penggajian Kategori I dinaikkan daripada RM10,000 dan ke atas kepada RM20,000 dan ke atas.
Gaji Pas Penggajian Kategori II dinaikkan daripada RM5,000–RM9,999 kepada RM10,000–RM19,999.
Gaji Pas Penggajian Kategori III dinaikkan daripada RM3,000–RM4,999 kepada RM5,000–RM9,999, kecuali bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan (MRS) yang ditetapkan pada RM7,000–RM9,999.
Tempoh Pas Penggajian Kategori I dihadkan kepada 10 tahun.
Tempoh Pas Penggajian Kategori II dihadkan kepada 10 tahun, tertakluk kepada pelan peralihan.
Tempoh Pas Penggajian Kategori III dihadkan kepada lima tahun, tertakluk kepada pelan peralihan.
Semua ekspatriat pemegang Pas Penggajian Kategori I, II dan III dibenarkan membawa tanggungan.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan seorang warga Nepal yang diusir oleh bahagian antikeganasan polis pada 2016 kembali menggunakan visa profesional (DP10).
Pendedahan itu menunjukkan terdapat kelemahan dalam permohonan dan pemberian visa DP10 yang juga dikenali sebagai EP1.
Pada ketika itu, Mahendran Jung Shah ditahan kerana didakwa terlibat dalam aktiviti pembiayaan kumpulan pengganas Isis atau Daesh serta pemalsuan dokumen perjalanan untuk pengganas.
Mahendran menafikan sekeras-kerasnya pembabitan dalam aktiviti keganasan dan mendakwa bahawa pengusiran dahulu berpunca daripada fitnah dan dendam peribadi bekas duta Nepal ke Malaysia.
Kenyataan KDN hari ini bagaimanapun dibuat secara umum dan tidak merujuk kepada mana-mana kes secara khusus.
