Seorang warga Nepal yang pernah diusir dari Malaysia pada 2016 atas dakwaan berkaitan pembiayaan kumpulan pengganas Isis atau Daesh didakwa kembali menjejakkan kaki ke negara ini.
Mahendra Jung Shah (gambar bawah) bagaimanapun menafikan semua dakwaan tersebut ketika dihubungi Malaysiakini.
Menurutnya, dia tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti keganasan.
“Saya ditahan selama 14 hari (ketika itu ) untuk siasatan oleh pihak berkuasa Malaysia sebelum dihantar pulang ke Nepal.

“Jika saya benar-benar seorang pengganas, saya pasti sudah didakwa di bawah undang-undang ketat Malaysia,” katanya.
Shah turut mendakwa pihak berkuasa Nepal dan Interpol Nepal telah membersihkan namanya selepas dia pulang ke negara asal.
“Sekembalinya saya ke Nepal, pihak berkuasa tempatan dan Interpol Nepal mengesahkan saya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya.
Bagaimanapun, Shah enggan mengemukakan sebarang dokumen bagi menyokong dakwaan tersebut.
Ketika ditanya lanjut mengenai status kemasukannya ke Malaysia, Shah menegaskan perkara itu bukan di bawah bidang kuasanya.
“Saya bukan imigresen. Soalan ini perlu ditanya kepada jabatan yang berkaitan.
“Saya tidak boleh menjawab apa-apa mengenai kes DP10 (visa profesional) kerana itu bukan hak saya untuk jelaskan,” katanya.
Ditahan E8, diusir pada 2016
Berdasarkan laporan media sebelum ini, Shah ditahan Bahagian Counter Terrorism (E8) Bukit Aman pada 19 Ogos 2016 sebelum dihantar pulang ke Nepal pada 2 September tahun sama.
Ketua polis negara ketika itu, Khalid Abu Bakar mengesahkan tangkapan tersebut.
“Kami mendapati dia mengendalikan pusat hiburan dan sebuah hotel. Kami percaya dia bertanggungjawab memalsukan dokumen untuk memudahkan perjalanan pengganas,” kata Khalid.

Duta Nepal ke Malaysia pada waktu itu, Niranjan Man Singh Basnyat pula berkata Shah ditahan kerana disyaki terlibat dalam pengeluaran visa palsu Malaysia kepada kira-kira 140 warga asing, termasuk 36 warga Nepal.
Mengulas dakwaan tersebut, Shah mendakwa ia berpunca daripada dendam peribadi bekas duta berkenaan selepas dia memfailkan aduan rasuah terhadap diplomat itu di Nepal.
“Saya percaya dakwaan ini adalah hasil dendam peribadi seorang bekas duta yang saya laporkan atas kes rasuah.
“Dia cuba memfitnah saya dengan mengaitkan saya dengan ISIS — sebuah organisasi yang saya tidak kenal dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengannya,” katanya.

Visa profesional dan tanda tanya besar
Sumber imigresen mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Shah kini kembali ke Malaysia menggunakan visa profesional (DP10), yang lazimnya dikeluarkan kepada individu berkemahiran tinggi atau pemegang jawatan pengurusan kanan.
“Di bawah undang-undang Malaysia, warga asing yang dipercayai terlibat dengan aktiviti keganasan sepatutnya dilarang memasuki negara ini seumur hidup.
“Tetapi saya tidak pasti bagaimana dia boleh masuk semula. Kenyataan ketua polis ketika itu sangat jelas — dia dikaitkan dengan aktiviti keganasan,” kata sumber tersebut.
“Sebab itu persoalannya: Bagaimana dia boleh terlepas dan masuk semula?” tambah sumber itu.
Selain sumber berkenaan, sekurang-kurangnya dua ejen pekerja asing dari Nepal mendakwa Shah telah kembali ke Malaysia dan kini menjalankan perniagaan dobi serta perkhidmatan pembersihan.
Usaha Malaysiakini mendapatkan komen Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay — yang mengetuai Bahagian E8 dari 2013 hingga 2019 — tidak berhasil.
Rekod SSM dan alamat di Cheras
Siasatan Malaysiakini berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Shah menetap di sebuah pangsapuri di Taman Maluri, Cheras, Selangor.
Carian SSM menunjukkan Shah merupakan pengarah Stellar Diamond Sdn Bhd sejak 15 Mei 2024 dan memiliki 225,000 saham atau 40 peratus pegangan dalam syarikat tersebut yang terlibat dalam perniagaan pembersihan. Baki 60 peratus saham dimiliki seorang warganegara Malaysia.
Shah juga pernah dilaporkan sebagai individu yang dicari oleh Biro Pusat Kebangsaan Interpol di Singapura, yang meminta maklumat mengenai dirinya daripada polis Nepal.
Menurut laporan akhbar Nepal, Republica, Interpol mengesyaki Shah — yang pernah memimpin persatuan warga Nepal di Malaysia — mempunyai kaitan dengan ISIS.
Malaysiakini telah meneliti sepucuk surat Interpol Singapura bertarikh 29 Julai 2024.
Surat itu turut menyebut seorang warga Vietnam, Nguyen Thi Ngan, yang dilaporkan melancong bersama Shah ke Singapura pada 21 Julai 2024.
Rakan niaga, alamat sama
Rekod imigresen Malaysia menunjukkan Nguyen berkahwin dengan seorang warga Malaysia dan kini menetap di Taman Maluri menggunakan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (spouse visa).
Nguyen juga merupakan pengarah HSS Cleaning Services Sdn Bhd sejak 2 Mei 2019 dan memegang 30 peratus saham syarikat tersebut bersama individu yang sama memiliki 60 peratus saham dalam syarikat tempat Shah menjadi pengarah.

Maklumat SSM turut menunjukkan Nguyen dan Shah berdaftar di alamat yang sama. Lawatan wartawan Malaysiakini ke lokasi berkenaan mendapati Nguyen tinggal di situ bersama tiga orang anak.
Anak sulungnya berusia 10 tahun manakala anak bongsunya berusia lima bulan. Maklumat mengenai anak kedua tidak dapat disahkan.
Mengikut maklumat sijil perkahwinan, suami Nguyen yang berusia 65 tahun dilaporkan menetap di sebuah pangsapuri lain di Pandan Jaya. Namun, semakan di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan dia berasal dari Kampung Tunku, Damansara. Usaha Malaysiakini menjejakinya tidak berhasil.
Nguyen pula ketika dihubungi berkata dia tidak dapat memberi sebarang komen kerana berada di luar negara.
Dakwaan perkahwinan palsu
Menurut satu lagi sumber imigresen mengaitkan Nguyen dengan dakwaan perkahwinan palsu bersama warganegara Malaysia itu.
“Perkahwinan itu didaftarkan di JPN dan digunakan untuk memohon pas tinggal jangka panjang.
“Ada kemungkinan perkahwinan ini hanya wujud di atas kertas untuk memastikan anaknya mendapat kerakyatan,” kata sumber itu.
“Isu ini serius kerana melibatkan keselamatan negara serta peranan polis, imigresen dan JPN,” tambahnya.
Penafian Shah
Shah bagaimanapun menafikan Nguyen sebagai isterinya dan menolak dakwaan mereka mempunyai hubungan perkahwinan.
“Wanita itu bukan isteri saya, dan anak-anak itu bukan anak saya. Kami hanya rakan niaga dan rakan karib.
“Dia adalah isteri kepada rakan baik saya. Gambar bersama tidak membuktikan perkahwinan,” katanya.
Mengulas mengenai alamat yang sama dalam rekod SSM, Shah berkata dia tidak pernah menetap di lokasi tersebut.
“Saya menggunakan alamat rakan niaga kerana ketika mendaftarkan syarikat, saya belum mempunyai alamat tetap di Malaysia,” katanya.
Shah juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengaitkan dirinya dengan kematian mencurigakan ejen pengambilan buruh Nepal, Rinji Rai, di sebuah asrama pekerja di Malaysia pada April 2023.
“Saya tahu siapa di sebalik laporan ini. Ada individu cuba memeras ugut saya selama hampir setahun.
“Apabila saya enggan membayar, mereka menyebarkan video dan membuat laporan palsu atas dasar cemburu dan dendam,” katanya, sambil mendakwa memiliki bukti cubaan pemerasan tersebut.
Malaysiakini telah menghubungi KDN dan masih menunggu ulasan.
