Pemuda DAP membidas Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh yang mengumumkan keputusannya untuk meletakkan jawatan sebagai exco Melaka untuk membolehkan dirinya “menentang DAP habis-habisan.”
Dalam catatan ringkas di Facebook ringkas, Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong, mengingatkan Adun Merlimau itu bahawa “musuh sebenar” adalah Perikatan Nasional (PN), yang menghancurkan Umno pada pilihan raya umum lalu.

“Lawan DAP? Padahal PN yang rampas kerusi kau. Bebal tak dapat diajar,” kata Woo dengan tanda pagar “cakap tak serupa bikin”.
Ketika berucap pada Perhimpunan Pemuda Umno, hari ini, Akmal berkata peletakan jawatannya itu melibatkan portfolionya sebagai Exco Kemajuan Desa dan Keterjaminan Makanan negeri dan akan berkuat kuasa pada minggu depan.
Menurut Akmal, keputusan yang diambil itu bersandarkan kepada maruah.
"Saya nak bagi tahu, apabila saya tidak lagi berada dalam exco (Melaka), saya akan lawan kamu habis-habisan.
"Saya nak bagi tahu pada yang tanya ‘lu siapa’ (sebelum ini). Saya nak jawab, gua ada maruah, lu ada maruah ke tidak," katanya.

Sementara itu, tindakan Akmal mendapat reaksi sebaliknya daripada rakan sejawatnya dari PAS, yang memuji keputusan berkenaan dan menawarkan untuk bekerjasama menentang musuh yang sama.
“Tahniah brother atas prinsip! Kita sama-sama lawan DAP!
“You Never Walk Alone,” tulis Afnan Hamimi Taib Azamudden di Facebook, hari ini merujuk kepada tema perjuangan pasukan bolasepak, Liverpool.
Ketua Pemuda PAS itu juga sebelum ini mengalu-alukan gesaan Akmal agar parti-parti politik Melayu-Islam bersatu mempertahankan kepentingan mereka. Pada 3 Januari lalu, semasa di konvensyen khas Pemuda Umno, Akmal turut mendesak supaya pakatan Muafakat Nasional Umno-PAS dihidupkan semula.
Dia turut mengingatkan ahli dan pemimpin Umno supaya tidak gentar menjadi pembangkang.
Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, juga memuji keputusan Akmal tetapi mempersoalkan integriti pemimpin Umno lain yang kekal dalam kerajaan perpaduan.
“Hanya Akmal meletakkan jawatan kerana membantah kerjasama dengan DAP.

“Bagaimana pula dengan yang lain? Adakah pemimpin-pemimpin Umno yang lain, yang tidak meletakkan jawatan dan yang masih bersama dengan kerajaan PH-BN bersetuju bersekongkol dengan DAP?” soalnya.
Sambil menyifatkan kerajaan perpaduan sebagai satu kegagalan, Tun Faisal menekankan bagaimana sesetengah pemimpin Umno dengan rela hati terlibat dalam usaha untuk “menyamak dan mensucikan” DAP.
“Setakat Akmal seorang meletakkan jawatan, takkan mampu memadamkan penipuan, kesalahan dan pengkhianatan pemimpin ‘Umdap’ sepanjang tempoh mereka bersekongkol dengan DAP dan kerajaan PH-BN hari ini,” katanya.

Akmal telah lama berselisih dengan DAP mengenai pelbagai isu. Perbalahan terbaru adalah dengan ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, yang mahu meraikan keputusan mahkamah berhubung penolakan permohonan bekas presiden Umno, Najib Razak untuk dikenakan tahanan rumah.
Insiden itu mendorong Akmal untuk menggesa Umno keluar daripada kerajaan, yang seterusnya menyaksikan Pemuda DAP mencabar ketua Pemuda Umno itu untuk meninggalkan kerajaan Melaka.
