Paling Popular
Terkini

Ketua bahagaian Umno Selayang, Hasnal Rezwa Merican Hasnul Merican berkata dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini Umno telah berjaya memainkan peranannya dalam kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Perwakilan dari Selangor itu berkata, setelah tugas itu “selesai”, Umno berhak menentukan bagaimana parti itu harus menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16.

"Setelah tiga tahun - kita telah bawa bahtera ini ke “laut selamat”. Tak perlu risau lagi.

“Jadi setelah tugas kenegaraan ini kita penuhi, sekarang kita fikirkan bagaimana kita penuhi aspirasi ahli-ahli Umno menjelang PRU16.

"Kerana itu, usul yang dibawa hari ini menggariskan bahawa selepas tiga tahun, dari detik ini kehadapan, Umno berhak mengadakan apa jua kerjasama, jalinan politik, perbincangan, rundingan dengan mana-mana pihak bagi menentukan bagaimana kita mahu menghadapi PRU16," katanya ketika berucap menyokong ucapan dasar Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi di Perhimpunan Agung Umno hari ini.

Hasnul berkata parti itu perlu mengambil kira “kepelikan” yang dijelaskan oleh Ahmad Zahid, dengan merujuk keputusan Pilihan Raya Sabah apabila BN bertembung dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), walaupun kedua-dua gabungan itu berada dalam Kerajaan Persekutuan.

"Apa berlaku ketika ini ialah bahawa dua pihak dari kelompok sama tidak semestinya menjadi sekutu dalam pilihan raya. Kerana acuan tidak begitu sesuai.

"Seperti berlaku di Sabah. Umno - GRS - Harapan (PH) bentuk kerajaan persekutuan, tetapi bersaing dalam pilihan raya. Setelah selesai, kita duduk semula dan runding pembentukan kerajaan. Ini boleh berlaku di mana-mana.

Mengenai hubungan Umno dengan rakan kongsi sedia ada, Hasnal menegaskan peranan parti itu dalam kerajaan adalah sebagai “benteng orang Melayu” daripada “tuntutan” DAP.

Dia berkata antara “tuntutan” DAP yang ditentang Umno termasuk menghidupkan semula pilihan raya kerajaan tempatan; pengiktirafan Unesco untuk Kampung Baru Cina; serta pengiktirafan peperiksaan UEC.

“Tak ada apa yang DAP minta dia berjaya. Kenapa kita masih dipanggil UMDAP? Kerana kita di dalam kerajaanlah maka dia (DAP) gagal,” kata Hasnal, merujuk kepada istilah yang sering digunakan untuk menyerang ahli dan pemimpin Umno.

Hasnal dalam pada itu turut menamakan bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Isham Jalil, dan Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz sebagai dua individu yang aktif “menyelewengkan pemikiran orang Melayu mengenai Umno dan DAP.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS