PAU 2025 | Veteran Umno memberi amaran bahawa pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) secara tidak terkawal berpotensi mengurangkan peratusan pengundi Melayu di kawasan bandar.
Timbalan Pengerusinya, Salamon Selamat mendakwa ini termasuk di kawasan Shah Alam yang kemungkinan menyaksikan pengurangan daripada 80 peratus kepada sekitar 60 peratus.
“Veteran Umno mengucapkan terima kasih kepada Umno kerana telah menubuhkan pasukan khas RUU PSB, walaupun ia agak terlambat di bawah kepimpinan Naib Presiden, Datuk Seri Johari Ghani.
“Namun berdasarkan maklumat yang saya terima, tidak banyak cadangan tersebut dimasukkan dalam pindaan RUU PSB,” katanya ketika berucap menyokong ucapan dasar Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, Salamon menegaskan bahawa isu utama yang dibangkitkan veteran Umno bukan sekadar jaminan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa RUU PSB tidak menjejaskan pemilik asal tanah, sebaliknya kesan keseluruhan undang-undang itu terhadap struktur sosio-ekonomi dan geopolitik kawasan bandar.
“Apa yang kami tekankan ialah implikasi menyeluruh PSB terhadap sesebuah kawasan. Jika projek ini lebih memihak kepada pemaju dan tidak dikawal dengan baik, ia boleh disalahgunakan dan akhirnya menjejaskan kedudukan sosio-ekonomi serta politik Melayu bandar,” jelasnya.
Salamon turut memberi contoh Wilayah Persekutuan yang mempunyai 139 kawasan pembangunan dengan nilai kasar pembangunan (GDV) dianggarkan RM353 bilion, dengan nilai mencecah RM110 juta bagi satu ekar.
“Dengan keluasan purata sekitar 2,254 kaki persegi, sudah tentu rumah yang dibangunkan akan berharga tinggi dan berada di luar kemampuan orang Melayu bandar, khususnya golongan B40 dan M40,” katanya.
Salamon menambah, konsep pembaharuan semula bandar sebenarnya bukan sesuatu yang baru dan telah dimulakan sejak era Dasar Ekonomi Baru di bawah pimpinan Allahyarham Abdul Razak.
Namun Salamon memberi peringatan bahawa jika PSB dilaksanakan secara besar-besaran tanpa kawalan dasar yang tegas, ia akan menyebabkan pemilikan hartanah di bandar terus dikuasai oleh golongan berkemampuan tinggi, sekali gus menyukarkan orang Melayu memiliki rumah di kawasan strategik bandar.
“Jika ini berlaku, kesannya bukan sahaja kepada pemilikan hartanah, tetapi juga kepada keseimbangan politik dan masa depan orang Melayu di bandar,” katanya.
Pada 21 Ogos 2025, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, membentangkan bacaan pertama Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar 2025 atau lebih dikenali sebagai PSB.
Pada 28 Ogos lepas, bacaan kali kedua RUU berkenaan telah dibentangkan namun tidak dibahaskan sebelum ditangguhkan ke persidangan berikutnya.
Keputusan penangguhan diambil berikutan terdapat beberapa kebimbangan dan bantahan yang dibangkitkan termasuk oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan PKR.
