Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin nafi Bersatu beri mandat pemimpin runding dengan Umno
Diterbitkan:  Jan 18, 2026 7:34 PM
Dikemaskini: 11:59 AM

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menafikan partinya pernah memberikan mandat kepada mana-mana pemimpin untuk berunding dengan Umno berhubung cadangan “kerjasama agung” parti-parti Melayu-Islam, sekali gus bercanggah dengan dakwaan terbaru Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, pada persidangan parti itu.

Muhyiddin berkata ucapan Zahid pada Perhimpunan Agung Umno (AGM) baru-baru ini berhubung perbincangan dengan kepimpinan Bersatu ke arah penyatuan Melayu telah menimbulkan persoalan mengenai pendirian parti tersebut.

“Saya ingin menjelaskan bahawa Bersatu tidak pernah memberikan mandat secara rasmi kepada mana-mana pimpinan parti untuk berunding dengan Umno. Perkara ini juga tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

"Saya ingin menegaskan bahawa sebarang perbincangan rentas parti yang melibatkan sebarang bentuk kerjasama antara Bersatu dan Umno hendaklah diadakan mengikut saluran rasmi parti dengan dihadiri oleh kepimpinan tertinggi kedua-dua parti.

"Perbincangan hendaklah diadakan secara telus dengan mengambil kira semua faktor termasuk pandangan rakan-rakan parti anggota Perikatan Nasional dan kedudukan Umno dalam kerajaan perpaduan,” katanya pada hantaran di media sosial.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata dia kekal terbuka terhadap cadangan tersebut dan akan mempertimbangkannya selepas memperoleh maklumat lanjut.

“Bersatu akan menimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh Presiden Umno setelah mendapat input yang lebih jelas mengenainya,” katanya.

Zahid semalam mengemukakan usul pembentukan pakatan besar berkenaan dalam ucapan penggulungannya.

Namun, dia menegaskan cadangan kolaborasi agung itu tertakluk kepada satu syarat utama, iaitu tidak mengganggu atau menggugat kerajaan perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) jangan risau, saya tidak akan ada agenda untuk tepuk atap atau mahu menggugat kerajaan perpaduan tapi semata-mata bertujuan untuk menterjemahkan keikhlasan Umno untuk merangkul semua parti-parti Melayu-Islam berada dalam satu bumbung demi kepentingan dan agenda Melayu-Islam,” kata Zahid.

Timbalan perdana menteri itu kemudian meminta perwakilan Umno yang hadir menyatakan sama ada mereka menerima atau menolak usul pembentukan kolaborasi agung tersebut.

Permintaan itu disambut dengan sokongan sebulat suara apabila perwakilan melaungkan “setuju” sebanyak tiga kali.

Ditanya kemudian jika Umno ada berjumpa dengan PAS, Bersatu bagi membincangkan kerjasama itu, Zahid berkata ia pernah berlaku sebelum ini.

"Ada pertemuan tidak beberapa lama dulu," katanya ringkas.

Dia berkata kerjasama longgar itu juga terbuka kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam.

Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin dilaporkan dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa penyatuan rumah bangsa Umno, yang dipersetujui sebulat suara oleh majoriti perwakilan pada AGM tersebut.

Zahid turut dilapor mengumumkan pelantikan bekas menteri besar Johor, Abdul Ghani Othman sebagai pengerusi majlis musyawarah parti.

Para perwakilan AGM turut bersetuju sebulat suara melantik Zahid sendiri sebagai pengerusi Majlis Perundingan Ummah, susulan keputusan kabinet sebelum ini yang meluluskan penubuhannya.

“Dulu sewaktu saya menjadi timbalan perdana menteri, saya telah menubuhkan Majlis Perundingan Islam yang menyatukan pelbagai NGO, parti politik ke dalamnya untuk membincangkan tentang agenda-agenda Islam.

“Kabinet telah meluluskan Majlis Perundingan Ummah dan saya selaku pengerusinya untuk mewujudkan 11 kluster.

“Ia mengumpulkan para pemikir strategik, ulama, ahli akademik, pemimpin, NGO, tokoh korporat, wakil kerajaan serta tokoh-tokoh politik rentas kepartian bagi membincangkan isu-isu penting yang berkaitan dengan ummah Islam di Malaysia.

“Saya minta persetujuan perwakilan untuk saya jadi pengerusi kerana kabinet telah meluluskannya tetapi bulan depan kita akan terus lancarkan Majlis Perundingan Ummah ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS