Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Sikap keras, radikal Pemuda Umno bukan tanda lawan presiden'

Meskipun Pemuda Umno dilihat bersikap keras atau radikal dalam menyampaikan pandangan, pemimpin sayap parti itu menegaskan, ia bukan bermakna mereka menongkah arus Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya Pemuda Umno selaku sayap parti berpuas hati dengan Presiden Umno terbabit apabila "tuntutan" mereka diterima dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 yang berakhir semalam.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie, berkata ada kesepaduan yang disampaikan secara jelas dalam Ahmad Zahid semasa menyampaikan ucapan dasar dalam PAU kali ini.

"Apa yang kita cakap dan apa yang presiden angkat (bangkitkan) adalah perkara yang sama.

“Inilah kali pertama saya rasakan ada kesepaduan dalam PAU, (cuma) kali ini mungkin perwakilan tak faham apa yang berlaku dalam rencam politik kali ini.

"Cuma dari segi adabnya, dari segi pembawakannya, pemuda agak keras, tapi presiden ini bahasanya lebih lembut tapi hasratnya sama.

"Tak ada masalah (dengan presiden), kami terima. Kalau tanya saya, dua daripada tiga tuntutan kami diterima itu maksudnya satu kejayaan besar kepada pemuda," katanya kepada Malaysiakini.

Mohammad Sollehin Mohamad Tajie

Dia mengakui wujud sedikit perbezaan pandangan apabila Pemuda Umno mendesak parti itu untuk meninggalkan kerajaan perpaduan, tetapi ditolak oleh pucuk pimpinan.

"Mungkin kita (Pemuda Umno) rasa tergesa-gesa suruh keluar kerajaan, tapi bagi presiden harus diperhalusi, sekurang-kurangnya dia menerima pandangan kita," tambahnya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh tanpa berlapik menggesa parti itu meninggalkan kerajaan perpaduan dan menjadi pembangkang bagi membina kembali kekuatan parti mereka.

Berucap pada Konvensyen Khas Pemuda Umno yang membincangkan hala tuju parti itu dalam kerajaan perpaduan, dia mengingatkan ahli dan pemimpin partinya untuk tidak gentar menjadi pembangkang.

Tak salah buat salah

Apatah lagi, dakwanya, “garis merah” yang ditetapkan Umno telah dilanggar oleh pihak tertentu dalam kerajaan perpaduan khususnya DAP.

Bagaimanapun Ahmad Zahid menegaskan parti itu akan kekal dalam kerajaan perpaduan sehingga habis penggal dan tidak akan sesekali 'tebuk atap’ seperti yang pernah berlaku beberapa tahun lalu.

Bagi Exco Pemuda Umno, Fariz Hazurin Ismail, dia berpendapat memang sikap pemuda bersikap radikal namun ia tidak menjadi kesalahan kerana presiden sendiri pernah melalui zaman itu.

Katanya, meskipun Akmal dilihat lantang semasa menyampaikan sesuatu isu, namun ia masih tidak melanggar garis merah ditetapkan Umno.

Fariz Hazurin Ismail

"Tak salah kalau buat salah, ini adalah pemuda, kadang-kadang perancangannya, kelakuannya mungkin agak radikal, mungkin ada yang jadi betul mungkin ada kurang selesa, tapi inilah pemuda.

"Bagi saya apa yang Akmal buat masih tidak melanggar garis merah parti. Walaupun kadang-kadang secara permukaannya nampak sedikit berbeza dengan pemimpin atasan tapi masih lagi tak langgar garis merah Umno," katanya.

Fariz turut menegaskan ucapan dasar presiden dengan tuntutan yang disampaikan oleh Pemuda Umno dalam konvensyen khas lalu adalah selari tiada pertembungan.

Nazri Arshat

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Jerlun, Nazri Arshat, berkata tidak wujud pertembungan di antara pemuda dan kepimpinan utama parti di sebalik cara penyampaian yang dilihat agresif.

"Bukannya kami melawan, namun kami mahu suara kami didengari kerana kami membawa aspirasi rakyat, suara rakyat.

"Alhamdulillah pucuk pimpinan parti mendengar apa yang kita suarakan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS