Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zaharudin: Tokoh bukan fuqaha tak layak memimpin walau nampak hebat
Diterbitkan:  Jan 19, 2026 3:35 PM
Dikemaskini: 7:50 AM

Polemik kepimpinan negara yang diinginkan PAS terus menarik perhatian apabila Yang Dipertua PAS Sungai Buloh terus mempertahankan betapa perlunya ia diisi oleh seorang ulama.

Menurut Zaharudin Muhammad, berpolitik untuk menegakkan hukum Islam adalah suatu kewajiban dalam agama.

Katanya, tindakan berpolitik semata-mata untuk mendapat kuasa tidak akan bermakna apa-apa tanpa penegakan hukum Islam.

Untuk menjelaskan hujah tersebut, dia memberi contoh bagaimana hukum berwuduk bukanlah sesuatu yang wajib ke atas orang Islam, namun ia berubah menjadi wajib jika mahu mendirikan sembahyang.

Katanya hukum-hakam Islam juga tidak boleh dikuatkuasakan kecuali ada parti politik yang memahami keperluan tersebut.

“Jadi kalau berpolitik semata-mata nak jadi kerajaan, dan parti serta pemimpin kita jadi perdana menteri, tapi hukum tu semua ‘ke laut’, maka seumpama orang yang hebat berwuduk tetapi solat tak tahu,” katanya.

Hantaran itu dilatari isu dilatari isu siapa yang dianggap paling tepat mengetuai pakatan pembangkang dalam PN menghadapi kerajaan ketika jawatan pengerusinya masih menjadi tanda tanya ekoran pelekatan jawatan Muhyiddin Yassin.

Zaharudin sebelum ini menegaskan dia berasa sedih dengan pengunduran Muhyiddin dan mencadangkan agar Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, dilantik sebagai pengganti.

Hujah macam sekular

Bagaimanapun dipercayai ada pihak dalam PAS mahu naib presiden parti itu, Ahmad Samsuri Mokhtar, diberi kepercayaan mengetuai PN.

Semalam Zaharudin turut menyentuh mengenai kewujudan “Jebon” dalam PAS – merujuk kepada kumpulan tertentu yang cuba menaikkan tokoh bukan ulama sebagai pemimpin.

Krisis dalaman PAS yang menatijahkan “Jebon” pernah berlaku dan sampai ke kemuncaknya pada 2015.

Dalam hantarannya bertajuk Mengapa Saya Bersama PAS hari ini, Zaharudin menegaskan mengapa seseorang yang mahu dilantik sebagai ketua mesti mahir dalam hukum-hakam Islam.

Katanya, kelihatan hebat saja tidak menjadikan seseorang itu berkelayakan menjadi pemimpin.

“Saya akan buktikan dengan jelas bahawa bagaimana (seseorang) bukan fuqaha – walau dilihat hebat – tapi sebenarnya tidak layak dari segi hukum menerajui umat kerana dia seumpama faham wuduk tapi tak faham solat.

“Faham politik kepartian tetapi tak faham apa yang perlu dibuat jika memerintah Malaysia,” katanya.

Sementara itu hantaran-hantaran media sosial Zaharudin kelihatan diwarnai dengan banyak komen yang menunjukkan rasa kurang senang mereka terhadap kelantangannya.

Dalam salah satu reaksinya, Zaharudin menyatakan rasa hairan terhadap pendekatan yang diambil oleh pengguna media sosial.

“Saya pelik, adakah siber trooper kita (PAS) sekarang dah tak ada tarbiah? Hujah macam sekular,” tulisnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS