Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA anggap Zahid liabiliti terbesar buat BN
Diterbitkan:  Jan 19, 2026 4:19 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng menggesa Ahmad Zahid Hamidi menilai semula kepimpinannya selepas mendakwa pengerusi BN itu kini menjadi liabiliti terbesar kepada gabungan itu.

Kenyataan keras itu dibuat susulan kenyataan Ahmad Zahid bahawa wujud “Pasukan B” dalam DAP–rakan kerjasama dalam kerajaan–sebelum menarik balik selepas disanggah Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

"Tindakan pengerusi BN yang mendakwa terdapat pasukan B dalam DAP, kemudian menarik balik kenyataan tersebut secara tergesa-gesa, amat tidak wajar serta langsung tidak melayakkannya untuk terus menerajui BN.

"Sebagai pemimpin tertinggi BN, beliau tidak sepatutnya bercakap tanpa berfikir, tidak berpegang pada kata-kata sendiri dan bercanggah antara satu sama lain," kata Tan dalam kenyataan hari ini. 

Zahid ketika berucap di hadapan perwakilan Umno dari seluruh negara

Kelmarin, Ahmad Zahid dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di ibu negara dilaporkan mendakwa kenyataan bertentangan yang dikeluarkan daripada kepimpinan utama DAP datangnya daripada “Pasukan B”.

Timbalan perdana menteri  mendakwa perkara itu dimaklumkan sendiri kepadanya oleh Loke, namun ia tidak mencerminkan pendirian kepimpinan utama DAP, sebaliknya sekadar perbezaan pendapat kecil dalam parti.

Loke menafikan dakwaan itu.

Anthony Loke

Susulan itu, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa kenyataannya tidak bertujuan menggambarkan perpecahan dalaman DAP.

Katanya isu-isu yang dibangkitkan bukan pendirian atau keputusan rasmi DAP, sebaliknya pandangan segelintir pihak dalam parti itu terhadap kenyataan Ketua Pemuda Umno Ahmad Saleh.

“Maksud saya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 adalah untuk menjelaskan bahawa terdapat kenyataan bercanggah daripada segelintir kecil kepimpinan DAP terhadap perkara yang dibangkitkan,” dia dipetik sebagai berkata di Kuala Lumpur semalam.

Kredibiliti BN terjejas

Tan berkata perbuatan tersebut merupakan “penghinaan” langsung terhadap kredibiliti politik BN yang dibina bertahun-tahun.

Tan memberi amaran sekiranya Ahmad Zahid gagal memperbetulkan gaya kepimpinannya, usaha untuk menghidupkan semula gabungan itu hanya akan kekal sebagai retorik kosong.

"Tindak-tanduknya telah menimbulkan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan anggota BN dan rakyat; beliau kini menjadi liabiliti terbesar BN.

"Tingkah laku yang tidak bertanggungjawab seperti ini bukan sahaja merosakkan imej BN, malah menjadikan BN bahan ketawa di peringkat antarabangsa," katanya lagi. 

Cuba tenangkan rakan gabungan

Ahmad Zahid dalam PAU minggu lepas dilihat cuba menenangkan parti komponen BN–MCA dan MIC–dengan menyeru mereka berhenti “merajuk” dan kembali memperkukuh gabungan yang dibentuk selama lebih lima dekad itu.

Dalam ucapan dasarnya, presiden Umno berkata hubungan “adik-beradik” sememangnya tidak dapat dielakkan daripada melalui saat-saat krisis seperti lidah yang tergigit.

"Kita pun tak larat nak pujuk. Balik sini, duduk di rumah besar ini,” katanya.

Ucapan berkenaan disebut di hadapan Presiden MCA, Wee Ka Siong; dan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, sebagai tetamu dalam acara itu.

MCA dan MIC sudah beberapa kali menyatakan rasa senang mereka kepada kepimpinan Umno serta kerajaan melalui pelbagai isu.

Lebih daripada itu kedua-dua parti juga secara terbuka memberi bayangan yang mereka tidak menolak kemungkinan untuk meninggalkan BN disebabkan isu yang dibangkitkan.

Malah ada MIC negeri meluluskan usul untuk keluar dari BN.

Bagaimanapun Perhimpunan Agung Tahunan MIC pada 2025 menangguhkan keputusan mereka sama ada kekal dalam gabungan tersebut atau sebaliknya.

MCA pula pada 7 Dis tahun lalu memberi amaran kepada BN agar tidak meneruskan kerjasama dengan PH dalam kerajaan dan kegagalan berbuat demikian akan mengundang tindak balas daripada parti terbabit.

Malah Wee berkata, MCA "ada jalannya sendiri" jika kerjasama tersebut diteruskan. Pada masa sama Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menegaskan PN bukanlah pilihan mereka ketika ini kerana keberadaan PAS di dalamnya.

Keresahan itu dibuat ketika tiada mana-mana pemimpin parti terbabit dilantik menyertai kabinet kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS