Apabila menyebut soal Amanah, pandangan masyarakat kepada parti ini adalah parti serpihan PAS ataupun parti yang keluar daripada PAS.
Krisis yang melanda PAS dalam keadaan Malaysia sedang mencapai tahap kemuncak untuk menjatuhkan rejim BN tercetus akibat perbezaan pendekatan antara kelompok dalam PAS.
Amanah berjaya mencipta pelbagai rekod cemerlang yang tercatat dalam sejarah politik Malaysia sejak kemunculannya hingga ke hari ini.
Amanah menjadi parti yang membentuk Pakatan Harapan (PH) setelah PAS memutuskan hubungan dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR).
Selain itu, Amanah menjadi parti pemerintah selepas memenangi pilihan raya umum ke-14 meskipun ini kali pertama menyertai pilihan raya.
Lima wakil Amanah diangkat sebagai menteri penuh manakala lima wakil lagi dilantik sebagai timbalan menteri.
Amanah diberi mandat mengetuai negeri melaka dan pemimpinya menjadi exco kanan di Kedah, Perak dan Johor.
Memasuki pusingan kedua, pilihan raya umum ke-15 menjadi satu titik penting untuk Anwar Ibrahim selaku calon perdana menteri yang didambakan sejak 1998. Anwar dipilih menerajui Kerajaan Perpaduan sekali gus menamatkan situasi ‘parlimen tergantung’.
Dalam peristiwa bersejarah itu, sosok Mohamad Sabu dan Amanah mengiringi Anwar.

Sejarah yang tercatat berpuluh-puluh tahun akan datang bahawa Mohamad dan Amanah merupakan entiti yang meletakkan Anwar di Putrajaya.
Mohamad dan Amanah setaraf Anthony Loke dan DAP, Rafizi Ramli dan PKR, Ahmad Zahid Hamidi dan Umno, Abang Johari Openg dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Hajiji Noor dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ini sejarah penting yang Amanah cipta dan lalui.
Seratus tahun akan datang, Amanah akan tersenarai antara parti yang berjaya menumbangkan pemerintah paling lama dalam Malaysia serta menobatkan Anwar sebagai perdana menteri.
Ini rekod yang PAS gagal lakukan.
Pun begitu, seperti yang diistilahkan sebagai ‘sejarah’, kejayaan Amanah itu menjadi nostalgia manis yang akan diingati.
Paksi lama
Namun pada hari ini, Amanah perlu melihat kepada realiti politik semasa untuk meneruskan kelangsungan politiknya.
Amanah tidak boleh lagi berpaut kepada nostalgia lalu untuk dijadikan modal mereka menawan hati pengundi baru akan datang.
Malah generasi baru hari ini tidak lagi menjadikan nostalgia yang ada kepada ahli politik sebagai panduan untuk mereka memberi sokongan.
Baik Umno, PAS, PKR dan DAP, mereka semua terpaksa meninggalkan paksi lama untuk merangka naratif baru bagi menawan pengundi muda yang sungguh rencam dan rumit.
Amanah juga tidak boleh ketinggalan dalam hal ini memandangkan tokoh-tokoh yang berada dalam kepimpinannya merupakan pemain politik sejak 80-an, dan ada yang kini mencapai usia 70 tahun.
Amanah perlu melakukan proses ‘rejuvenasi’ bagi mendepani realiti politik semasa yang semakin mencabar, berubah pantas dan memerlukan citra baharu.
Bermula dengan menyusun naratif yang lebih segar terhadap fikrah perjuangan parti yang berpaksinya geopolitik semasa.
Membentuk idea politik yang mampu merentasi sentimen sejarah politik lama yang seharusnya telah dikuburkan.
Fikrah perjuangan parti mungkin kekal dan tidak akan berubah, tetapi cara pembawakan dan strategi yang menyentuh rakyat wajar ditawarkan oleh Amanah.
Secara tidak langsung, Amanah yang turut memperjuangkan politik Islam mencipta wajah politik Islam yang berbeza dengan PAS serta memberi keyakinan penuh rakyat untuk beralih daripada PAS kepada Amanah.
Kedua, bagi memastikan proses rejuvenasi dalam parti mula berjalan dan terus berjalan sehingga mencapai matlamat, tunjang utama parti mesti direjuvenasi dahulu iaitu kepimpinan parti.
Bagi memastikan nafas parti segar dan meyakinkan, kepimpinan parti mestilah diberikan kepada kepimpinan baharu.
Seperti di awal tulisan ini, kepimpinan parti sedia ada mencipta kejayaannya tersendiri malah zaman kegemilangan mereka sudah pun berlalu.
Mahu atau tidak, kepimpinan parti yang terlalu lama dan sudah pun berusia menyerahkan kepimpinan ini kepada yang lebih junior.
Ruang buat pemimpin junior
Bolehlah secara umumnya, pemimpin yang berumur atas 65 tahun dalam kepimpinan berundur secara sukarela bagi menyediakan ruang yang lebih banyak kepada pemimpin junior dalam parti diangkat dan ditonjolkan.
Betapa pentingnya kepimpinan yang berjaya merangkul kekuatan ahli dan jentera parti yang ada.
Keupayaan pemimpin untuk memberi hala tuju yang jelas, realistik dan berpaksikan kepada kedudukan semasa parti amatlah diperlukan.
Amanah bukan sahaja akan ketinggalan dalam mengembangkan pengaruhnya ke dalam masyarakat, malah bakal kehilangan ahli akibat tiada sentuhan kepimpinan yang benar-benar memimpin mereka.
Pokoknya mengubah kepimpinan parti menjadi asas kepada rejuvenasi parti. Tidak mungkin pemimpin sedia ada mampu menjayakan rejuvenasi kepada partinya dalam keadaan mereka masih kekal memimpin.
Pastinya mereka telah sedia upaya untuk melakukan sesuatu semasa mereka memimpin, namun tahap lonjakan Amanah tidak berubah, justeru langkah terakhir adalah dengan memberi laluan kepada kepimpinan lain untuk memulakan aksi mereka pula.
Secara tidak langsung jentera utama yang berada di barisan hadapan iaitu jentera komunikasi dan media sosial Parti Amanah mula disusun dan dirangka untuk menyampaikan fikrah perjuangan parti serta khidmat yang boleh diberikan kepada rakyat.
Harus diakui bahawa jentera komunikasi parti-parti dalam kerajaan terutamanya dalam PH amat lemah.
Kepimpinan parti perlu meletakkan strategi dan pendekatan baru kepada organisasi komunikasinya.
Kesimpulannya, Amanah mesti melakukan rejuvenasi melalui perubahan kepimpinan parti sebelum PRU ke-16 tiba.
Perubahan itu akan diiringi dengan penyusunan semula naratif parti terhadap fikrah perjuangan yang ditetapkan.
Ahli-ahli parti diposisikan sebaiknya bagi mengoptimumkan keupayaan parti ke arah kemenangan yang lebih besar dalam pilihan raya.
Kewujudan Amanah pada masa akan datang ditentukan oleh langkah kepimpinan hari ini.
ABDUL JALIL IBNU adalah pemerhati dan penulis politik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
