Tiga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan seorang pemilik kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan terlibat dalam sindiket 'counter setting' atau caturan kaunter di Pasir Gudang dan Muar, lapor Bernama.
Kesemua tertuduh, Md Azhar Jamal, 40; Ridzal Mohd Yasin, 43; Hairizam Mohamed, 58; dan Haslan Hazilah, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Md Azhar berdepan 14 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM28,600 daripada seorang wanita melalui pindahan dalam talian antara Julai 2024 hingga Februari 2025.
Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.Ridzal pula berdepan dua pertuduhan menerima RM1,700 daripada seorang ejen lelaki di sebuah tandas berhampiran kaunter Imigresen Terminal Feri Pasir Gudang pada 2023.
Manakala Hairizam didakwa menerima RM100 bagi memudah cara urusan kemasukan warga Indonesia pada Ogos 2024.
Sementara itu, Haslan, yang merupakan pemilik kedai makan, didakwa bertindak sebagai orang tengah dengan menerima suapan RM1,200 di Muar pada November 2024.
Ridzal dan Hairizam dituduh mengikut Seksyen 16(a) (A) dan (B) Akta SPRM 2009.
Untuk rekod, Malaysiakini sebelum ini melaporkan sindiket ini melibatkan salah seorang tertuduh.

Malaysiakini melaporkan mengenai seorang pegawai rendah Imigresen gred KP1 yang ketika itu dirujuk sebagai 'Pegawai A' yang ditahan dua kali oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh lima bulan atas kesalahan manipulasi sistem di pintu sempadan.
Pada ketika laporan tersebut diterbitkan, Malaysiakini memilih untuk tidak mendedahkan identiti pegawai berkenaan kerana dia masih dalam proses siasatan dan belum dituduh secara rasmi di mahkamah.
Siasatan mendapati pegawai terbabit dipercayai bekerjasama dengan kartel tempatan yang mempunyai pengaruh kuat di Johor dan Putrajaya untuk membawa masuk warga Indonesia yang telah disenarai hitam (blacklist).
Antara modus operandi mengejutkan yang didedahkan sumber kepada Malaysiakini adalah tindakan mensabotaj sistem imigresen bagi memudahkan urusan 'counter setting'.
Pegawai-pegawai terlibat dipercayai menerima rasuah melebihi RM500,000 daripada ejen dan 'runner'.
Susulan operasi yang dikenali sebagai 'Ops Setting' itu, SPRM telah menyita pelbagai aset termasuk wang tunai, kenderaan mewah Toyota Vellfire, dan membekukan 25 akaun bank bernilai RM1.2 juta.
Semantara itu, di mahkamah hari ini, Hakim Ahmad Kamal membenarkan Md Azhar diikat jamin RM10,000, manakala tiga yang lain diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.Mahkamah menetapkan 24 dan 25 Feb ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Ameera D'Aneez Mohd Shukari, Fazal Lisam Abidin dan Muhd Faizul Kamaro Zaman, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Abd Rahim Ali, Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri, Suhaila Shafi'uddin serta Nurashidah Md Razip.
