Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata PN sudah hampir ke tahap perlu memuktamadkan calon perdana menterinya bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Katanya, keputusan mengenai calon PM tidak wajar ditangguhkan kerana ia memberi kesan psikologi kepada pengundi, khususnya apabila pilihan raya semakin hampir.
"Mungkin sudah hampir masanya untuk kita putuskan siapa calon perdana menteri daripada Perikatan Nasional (PN). Dari segi psikologi, ini penting.

"Pengalaman sebelum ini menunjukkan rakyat mula mempersoalkan kepimpinan tertinggi gabungan apabila pilihan raya negeri atau umum semakin hampir. Sama ada saya atau orang lain yang menjadi calon PM, yang penting kita bincang dulu supaya tidak bergaduh.
"Bila hampir pilihan raya, seperti di Melaka atau Johor, rakyat mula bertanya. Kalau parti tidak buat keputusan sekarang, ia tidak memberi keuntungan," kata kepada pemberita di majlis makan malam bersama pengamal media Tamil di Brickfields, semalam.
Calon-calon berpotensi
Perbincangan mengenai bakal calon PM bagi gabungan PN bukan satu perkara yang baru.
Pada perhimpunan agung Bersatu tahun lalu, para perwakilan sebulat suara mencalonkan Muhyiddin sebagai calon PM mewakili PN dalam PRU16.
Namun, pada muktamar PAS tahun lalu, presidennya Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata calon PM tidak semestinya bermakna akan mengetuai gabungan PN. Selain itu, Abdul Hadi juga mencadangkan calon PM perlu di bawah 70 tahun.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, dilihat sebagai calon kuat kerana popularitinya dalam parti dan jawatannya sebagai timbalan pengerusi PN. Dia yang berusia 65 tahun dianggap memenuhi kriteria umur dan kepimpinan ulama yang dimahukan oleh Abdul Hadi.
Selan itu, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar atau "Dr Sam", turut disebut-sebut sebagai calon perdana menteri. Latar belakangnya sebagai teknokrat dalam bidang aeroangkasa dan sokongan daripada tokoh seperti bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad meningkatkan kredibilitinya.
Timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin turut dilihat mempunyai potensi besar untuk mengetuai PN.
Meskipun terdapat spekulasi mengenai krisis dalaman parti untuk menggantikan Muhyiddin, Hamzah menyatakan kesediaan untuk menunggu giliran peralihan kuasa secara tertib.
‘Perselisihan faham kecil lumrah manusia’
Sementara itu, ketika mengulas hubungan kepimpinan dalam PN, bekas pengerusi itu berkata secara keseluruhan hubungan antara pemimpin utama gabungan itu berada dalam keadaan baik.

"Kalau hubungan ini tidak baik, sudah tentu PN sudah hancur. Perselisihan faham kecil itu lumrah manusia.
"Semua presiden parti dalam PN berkongsi pendirian sama bahawa gabungan itu mesti kekal bersatu dan tidak boleh berpecah.
"Kita sedar betapa pentingnya PN untuk kekal kuat. Kita tidak mampu untuk berpecah," katanya.
Menurutnya, sebagai salah seorang pengasas PN, dia mempunyai hubungan baik antara kepimpinan tertinggi dan ahli di peringkat nasional.
Hubungan Muhyiddin-Hamzah masih boleh dibaiki
Dalam masa sama, beliau memaklumkan penambahbaikan struktur PN sedang dirancang bagi memastikan peranan setiap parti lebih seimbang dan pelaksanaan kerja politik lebih mantap.
"Dalam mesyuarat majlis presiden terakhir, kami berbincang bahawa pemimpin mesti datang daripada kalangan presiden parti. Ada empat orang: Saya, Hadi, Dominic (Lau, presiden Gerakan), dan Punithan (presiden MIPP) lagi.

"Jika saya berhenti, tiga yang lain ada. Namun, jika mereka juga ada kekangan (seperti faktor kesihatan), kita perlu cari jalan penyelesaian. Kita perlu lihat situasi keseluruhan supaya institusi ini lebih mampan.
"Di masa hadapan akan ada penambahbaikan struktur supaya peranan setiap parti lebih seimbang. Ini bukan sekadar bekerja bersama, tetapi memastikan pelaksanaan yang lebih kukuh," katanya.
Ditanya mengenai hubungannya dengan Hamzah, Muhyiddin secara ringkas menjawab bahawa: "masih boleh dibaiki".
Untuk rekod, pada 30 Disember Muhyiddin mengesahkan telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN berkuatkuasa 1 Jan 2026 melalui satu kenyataan rasmi ringkas.
Keputusan itu dibuat ketika ketegangan memuncak antara PAS dan Bersatu, susulan tindakan pemimpin Bersatu di Perlis yang memulakan percubaan rampasan kuasa sehingga menyebabkan PAS kehilangan penguasaan ke atas kerajaan negeri itu.

Sejak itu, pemimpin PAS mengancam sama ada akan meninggalkan PN dan mencari pakatan baru bersama Umno, atau mengambil alih sendiri kepimpinan PN.
