Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Guan Eng ganggu keharmonian P Pinang’ - NGO protes tukar nama jalan

Pembela, yang mendakwa mewakili 50 NGO di Pulau Pinang, membidas Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng kerana didakwa meminta Jalan Pantai Bersih di Butterworth ditukar nama kepada Jalan Tokong Naga atau Dragon Temple Lane.

Pengerusinya, Azmi Jaafar menuduh bekas ketua menteri Pulau Pinang itu campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri sekarang.

“Rakyat Pulau Pinang dengan tegas menolak tukar nama. Bagi kami, ia ada niat buruk untuk mengganggu keharmonian antara kaum di Pulau Pinang,” kata Azmi semasa protes berhubung perkara itu hari ini.

“Kami mahu Ketua Menteri, Chow Kon Yeow beri penjelasan kenapa seorang yang telah tiada kuasa masih boleh campur tangan dalam perkara seperti ini.

“Kali ini kami akan hantar dia balik ke Melaka,” katanya, merujuk kepada Lim yang pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Melaka selama tiga penggal dari 1986 hingga 1999.

Lim, dilaporkan bercakap berkenaan isu tersebut ketika hadir di majlis makan malam di tokong Thean Hock Keong pada 10 Januari.

Dia didakwa meminta Chow menggunakan kuasanya sebagai Ketua Menteri untuk menukar nama jalan itu.

Lim setakat ini tidak memberikan sebarang maklum balas apabila diminta mengulas perkara itu.

Protes penduduk

Kira-kira 50 penduduk kampung yang diketuai Azmi berkumpul pada jam lima petang hari ini di Flat Taman Tun Dr Awang di Butterworth bagi membantah isu berkenaan.

Mereka mengangkat sepanduk dengan slogan seperti “Penang Elok Dah”, “Lim Guan Eng, Pergi Balik Melaka”, “Pulau Pinang Ada Sejarahnya” dan “Jangan Cabar Melayu”.

Azmi turut mendakwa ahli-ahli PKR juga menolak cadangan penukaran nama tersebut.

“Kami biasanya tidak campur tangan dalam pentadbiran negeri, contohnya penamaan Karpal Singh Drive di Sungai Pinang.

Azmi Jaafar

“Adakah kami campur tangan? Tidak. Jadi kenapa mereka campur tangan dengan nama jalan kami?” kata Azmi dengan nada lantang.

Dia seterusnya berkata mereka akan menghantar memorandum kepada Chow di Menara Komtar esok bagi mempersoalkan rasional untuk menamakan semula sebuah jalan sempena sebuah tokong.

“Kira-kira 85 peratus penduduk adalah orang Islam dan ini menimbulkan kebimbangan ia boleh mencetuskan sensitiviti agama dan mengganggu keharmonian antara agama.

“Keputusan untuk tukar nama boleh dianggap tidak sensitif mahupun menyinggung perasaan umat Islam, yang mana penyembahan di tokong dilarang sama sekali dan dianggap syirik.”

Kata Azmi lagi, memorandum itu juga akan mempersoalkan jika Lim masih tetap berpengaruh dalam pentadbiran kerajaan negeri, walaupun pertuduhan rasuah.

Memorandum itu juga akan merujuk kepada beberapa pandangan Lim yang mencerminkan gaya politiknya yang bersifat memecah-belah dan tidak bertoleransi, katanya lagi.

“Kami nak tanya jika Ketua Menteri sekarang benar-benar memimpin secara bebas atau masih terikat dengan pendekatan serta pengaruh kepimpinan terdahulu.”

Hanya libat nama sebuah lorong

Cadangan itu mencetuskan bantahan daripada penduduk, antaranya memandangkan terdapat kampung Melayu seperti Kampung Pak Leh dan Kampung Contoh di kawasan berdekatan.

Bagaimanapun, kerajaan negeri berkata terdapat kekeliruan mengenai jalan mana yang terlibat.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari, berkata pihaknya menerima permohonan untuk menukar nama sebuah lorong sepanjang 280 meter, dan bukannya  keseluruhan nama Jalan Pantai Bersih.

Menurutnya, Persatuan Thean Hock Keong memohon supaya nama lorong itu, yang juga dinamakan Jalan Pantai Bersih, ditukar kepada Dragon Temple Lane atau Jalan Tokong Naga.

Pihak tokong pula mendakwa nama Dragon Temple Lane atau Jalan Tokong Naga telah direkodkan secara rasmi dalam dokumen pendaftaran persatuan tokong sejak 1951.

Faktor itu mendorong Adun Sungai Puyu, Phee Syn Tze, bersama Persatuan Thean Hock Keong untuk mengemukakan permohonan penukaran nama itu pada tahun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS