Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, mempelawa Rafizi Ramli (PKR-Pandan) untuk menghidupkan semula cadangan yang dikemukakan Rafizi pada 2015 bagi melarang perdana menteri memegang portfolio kewangan serentak.
Dia berkata walaupun kerajaan bercadang mengenakan had dua penggal kepada jawatan perdana menteri, langkah itu tidak bermakna sekiranya perdana menteri masih dibenarkan menguasai portfolio kewangan.
Menurut bekas anggota Bersatu yang dipecat itu, dia bersedia bekerjasama dengan Rafizi dan pihak yang sehaluan dengan ahli parlimen Pandan untuk membawa semula rang undang-undang persendirian berkenaan ke Dewan Rakyat.
“Unuk itu saya nak ingatkan Dewan (Rakyat) ini bahawa kalau tak silap saya tarikhnya 23 September 2015, Yang Berhormat Pandan pernah membawa satu rang undang-undang persendirian pemisahan jawatan perdana menteri dan jawatan menteri kewangan.
“Pada masa itu, rang undang-undang persendirian itu ditolak (oleh Dewan Rakyat).
“Hari ini, saya saya nak ajak secara terbuka kepada Yang Berhormat Pandan dan serta rakan-rakan rakan-rakan YB Pandan yang masih berpegang kepada semangat ‘reformasi’, apa kata kita sama-sama berganding bahu untuk usulkan semula RUU persendirian ini untuk dibahaskan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat.
“Kalau YB Pandan sudi berkongsi draf rang undang-undang yang dihasilkan pada 2015 dulu, saya sedia jadi pengusul bersama,” kata Wan Saiful.
Pada September 2015, Rafizi berusaha membentangkan rang undang-undang persendirian bertajuk Akta Pemisahan Jawatan (Perdana Menteri dan Menteri Kewangan) 2015 di Parlimen.
Rang undang-undang itu memperuntukkan bahawa seorang menteri hanya boleh memegang satu jawatan kabinet, dengan perdana menteri memilih menteri kewangan daripada kalangan ahli Parlimen dan senator.
Langkah tersebut disasarkan kepada perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu, Najib Razak, yang enggan berundur di tengah-tengah dakwaan skandal 1MDB.
Bagaimanapun, rang undang-undang berkenaan ditolak oleh speaker Dewan Rakyat ketika itu, Pandikar Amin Mulia.
Pada 20 Januari lalu, Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin (PN-Larut) turut menyatakan kesediaan untuk menyokong cadangan Putrajaya bagi mengehadkan jawatan seseorang sebagai perdana menteri hanya kepada dua penggal.
Pun begitu, pembangkang menetapkan had tempoh tersebut disertakan dengan klausa yang turut menghalang seseorang perdana menteri memegang portfolio kewangan pada masa yang sama.
