Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kelemahan literasi kewangan dalam kalangan guru antara faktor utama yang menyebabkan golongan pendidik mudah terjebak dalam masalah hutang sehingga berdepan risiko kebankrapan.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Fouzi Singon berkata keadaan itu diburukkan lagi dengan sistem kelulusan pinjaman yang disifatkan longgar sehingga membuka ruang kepada guru membuat pinjaman tambahan walaupun tahap komitmen masing-masing melepasi had selamat.

“Walaupun potongan gaji melalui Angkasa (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd) dihadkan kepada maksimum 60 peratus daripada gaji bulanan, terdapat institusi kewangan yang membenarkan pinjaman dibuat di luar sistem tersebut melalui potongan terus dari akaun bank.

“Situasi ini memberi ruang kepada guru membuat pinjaman tambahan walaupun kemampuan sebenar mereka telah melepasi had selamat, sekali gus meningkatkan risiko berdepan hutang berganda dan masalah kewangan jangka panjang,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan dengan itu, Fouzi menyarankan ketua jabatan atau bahagian sumber manusia memainkan peranan lebih aktif memantau kedudukan kewangan warga pendidik sebelum memberikan sebarang pengesahan.

Katanya langkah itu perlu bagi mengelakkan mereka terlibat dengan pinjaman tersembunyi yang tidak dipaparkan dalam slip gaji.

Sebelum ini media melaporkan, Selangor merekodkan jumlah kes kebankrapan tertinggi di negara ini dengan golongan guru antara penjawat awam yang paling ramai terlibat.

Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia Ishak Bakri berkata antara punca utama kebankrapan ialah komitmen pinjaman peribadi yang tinggi.

Masalah jangka panjang

Katanya data Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) juga menunjukkan golongan berpendapatan tetap lebih terdedah kepada risiko kebankrapan.

Fouzi berkata kecenderungan sesetengah guru yang berminat dalam bidang perniagaan dan pelaburan juga menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan tawaran skim pelaburan atau pinjaman yang kelihatan menguntungkan walaupun tidak memiliki ilmu kewangan mencukupi.

Dia turut merujuk kes penipuan pinjaman oleh sebuah platform pendidikan kewangan (CSA Academy) yang disifatkan sebagai kes terbesar pernah dikendalikan NUTP melibatkan kira-kira 1,700 guru di seluruh negara.

Tambahnya, sebahagian besar mangsa menanggung hutang melebihi RM100,000 seorang, malah terdapat kes membabitkan pasangan suami isteri guru yang terjejas keseluruhan pendapatan isi rumah mereka.

Fouzi Singon

“Skim tersebut menjanjikan penyelesaian hutang sedia ada serta pulangan bulanan yang tinggi, dengan syarat guru membuat pinjaman baru yang dibantu pegawai bank yang tidak bertanggungjawab.

“Pada peringkat awal, sebahagian mangsa menerima bayaran namun skim itu kemudian gagal dan meninggalkan beban hutang berganda,” katanya yang turut memaklumkan kes tersebut telah diambil tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain skim pelaburan, terdapat juga kes guru terjerat hutang akibat dipujuk pasangan agar membuat pinjaman, menjadi penjamin hutang rakan atau saudara, serta pembelian aset seperti tanah dan rumah di luar kemampuan sebenar.

Wajibkan pendidikan literasi kewangan

Semua faktor tersebut, kata Fouzi, akhirnya membawa kepada notis kebankrapan dan masalah kewangan jangka panjang, sekali gus mencetuskan tekanan emosi serius kepada guru seperti masalah tidur, konflik keluarga serta penurunan motivasi kerja.

“Dalam keadaan tertentu, tekanan melampau boleh mendorong kepada tindakan di luar kawalan, sekali gus menjejaskan imej profesion perguruan dan sistem pendidikan,” katanya.

Dia juga menjelaskan bahawa gaji guru sebenarnya mencukupi untuk menampung keperluan asas sekiranya diurus dengan baik.

Fouzi memberitahu, guru DG41 atau DG9 baru menerima kira-kira RM3,200 hingga RM3,500 sebulan termasuk elaun, manakala pasangan guru sepatutnya mampu menjalani kehidupan yang selesa dengan perancangan kewangan yang betul.

Mengenai keberhutangan guru didapati lebih ketara di Selangor, Fouzi berkata keadaan itu bukan semata-mata disebabkan tahap pendapatan, sebaliknya jumlah guru yang tertinggi di negeri tersebut, iaitu 45,000 orang, dengan lebih 33,000 daripadanya merupakan ahli NUTP.

“Apabila jumlah guru terlalu besar, kebarangkalian kes juga meningkat. Ini tidak bermaksud Selangor lebih bermasalah, tetapi kes lebih menonjol kerana populasinya besar,” katanya.

Justeru dia menggesa pendidikan literasi kewangan diwajibkan kepada semua pendidik, termasuk di institut pendidikan guru (IPG) dan bukan sekadar dijadikan kursus sampingan.

Dalam usaha membantu mangsa, Fouzi memberitahu, NUTP bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi menyusun semula pinjaman serta memastikan guru masih mempunyai sekurang-kurangnya 40 peratus pendapatan bersih.

Dia turut menekankan keperluan sokongan psikologi bagi membantu guru yang terjejas menangani tekanan kewangan dan emosi.

Fouzi turut menasihatkan guru, khususnya yang muda, agar tidak membuat keputusan kewangan secara bersendirian, sebaliknya mendapatkan pandangan profesional sebelum membuat sebarang pinjaman bagi melindungi pendapatan mereka.

Dengan cara itu, katanya, mereka dapat menjalankan tanggungjawab mendidik dengan tenang dan berfokus.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS