Keputusan seorang ibu berbangsa Cina menghantar anak lelakinya ke Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) mencuri perhatian warganet sehingga menuai pelbagai reaksi.
Menurut Zhu Er Chan, 31, dia mengambil keputusan menghantar anaknya, Low Zi Kang, 3, ke tadika Pasti Cha'ah di Johor kerana terpaksa pulang ke kampung halamannya itu selama kira-kira tiga bulan.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut, dia mencari tadika yang boleh menerima kemasukan anaknya untuk jangka pendek, namun hanya pusat pendidikan prasekolah milik PAS itu bersedia menerima Zi Kang.
“Sebab utama saya menghantar anak ke Tadika Pasti adalah kerana saya perlu pulang ke kampung saya (Cha’ah) buat sementara waktu iaitu sekitar tiga bulan untuk menguruskan urusan keluarga.

“Saya gembira anak saya dapat belajar agama Islam sejak kecil. Ini adalah satu pengalaman yang baik buat kami," katanya kepada Malaysiakini.
Low Zi Kang atau mesra digelar “Kang Kang” mula bersekolah di tadika itu pada November 2025 ketika berusia dua setengah tahun.
Sepanjang hampir tiga bulan mengikuti sesi pembelajaran, Zhu Er melihat banyak perkembangan positif dari segi emosi dan pembelajaran awal anaknya.

Tambahnya, Kang Kang kini mampu menyebut perkataan asas dalam Bahasa Melayu serta menyanyi dan menari lagu-lagu Melayu.
“Walaupun hanya untuk tempoh tiga bulan, saya melihat perubahan yang sangat memberangsangkan. Sejak belajar di sini, anak saya kelihatan sangat gembira.
“Dia boleh sebut ‘ibu’, ‘duduk’ dan kira satu sampai lima walaupun dia baru umur tiga tahun,” katanya.

Mengulas penerimaan di tadika tersebut, Zhu Er berkata anaknya disambut baik oleh rakan-rakan serta guru, malah kehadirannya disenangi murid lain.
“Setiap pagi anak saya sampai depan pintu, ramai yang keluar jemput, cium dan salam dengan dia,” tambahnya.
Bagaimanapun, dia mengakui reaksi masyarakat bukan Islam terhadap keputusannya bercampur-campur sehingga menerima kritikan daripada segelintir pihak, termasuk menerima mesej peribadi yang tidak bersetuju dengan tindakannya.
Bagaimanapun, dia mengakui reaksi masyarakat bukan Islam terhadap keputusannya bercampur-campur.
Malah dia juga menerima kritikan daripada segelintir pihak termasuk mendapat mesej peribadi yang tidak bersetuju dengan tindakannya.
Zhu Er berkata, dia lebih cenderung untuk tidak melayan komen negatif dan berharap pihak yang mengecam dapat saling menghormati agama dan budaya kaum lain, serta menghormati keputusan masing-masing.
