Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pindaan akta: Kumpulan Orang Asli anggap sesi libat urus gagal
Diterbitkan:  Jan 24, 2026 10:11 AM
Dikemaskini: 2:11 AM

Sebuah kumpulan yang terdiri daripada 15 organisasi dan individu berkaitan Orang Asli menolak cadangan pindaan Akta Orang Asli 1954.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan, kumpulan terbabit berkata sesi libat urus yang dianjurkan kerajaan pada 22 Jan lalu tidak mematuhi prinsip “izin berasaskan makluman awal, bebas dan telus (IMABT).

“Proses berkenaan memperlihatkan satu corak lama iaitu keputusan dibuat terlebih dahulu, masyarakat Orang Asli hanya diminta hadir untuk ‘didengar’ dan bukannya untuk menentukan,” kata kumpulan terbabit.

Pakatan itu berkata komuniti Orang Asli dan NGO menuntut agar draf penuh rang undang-undang (RUU) pindaan dan laporan kajian kumpulan perunding didedahkan sebelum sebarang pembentangan dibuat di parlimen.

Mereka juga berpendapat pandangan yang komuniti terbabit mesti menunggu RUU pindaan dibentangkan kerana dokumen yang diingini tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA) sebagai tidak boleh diterima, selain bercanggah dengan prinsip IMABT.

“Tidak akan ada IMABT jika komuniti yang terjejas dinafikan akses kepada teks undang-undang yang akan menentukan masa depan mereka,” kata kenyataan itu.

Justeru kumpulan terbabit berpendapat proses libat urus gagal memenuhi piawaian asas perundingan yang bermakna dan menafikan hak, tanah dan suara komuniti Orang Asli.

Kumpulan-kumpulan itu juga menyenaraikan tuntutan bersama mereka:

• Proses pindaan Akta Orang Asli wajib ditangguhkan sehingga peruntukan pengiktirafan tanah dan wilayah adat Orang Asli dimasukkan secara jelas dan mengikat di sisi undang-undang;
• Draf penuh RUU dan laporan kajian perunding didedahkan dan dibentangkan kepada Orang Asli;
• Tanah dan wilayah adat Orang Asli diiktiraf secara jelas dan mengikat di sisi undang-undang;
• IMABT dilaksanakan sebagai persetujuan sebenar, bukan rundingan simbolik; dan
• Hak penentuan kendiri Orang Asli dihormati sepenuhnya.

Pada masa sama, kumpulan itu mempersoalkan penyertaan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor, seorang Orang Asli, sebagai panel utama sesi libat urus yang dianjurkan kerajaan.

Kata mereka, pembabitan Ahli Parlimen Cameron Highlands itu menimbulkan risiko campur tangan badan legislatif dalam bidang kuasa eksekutif yang sepatutnya dipikul oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA)

Antara pertubuhan yang menyokong kenyataan tersebut ialah Apa Kata Wanita Orang Asli, Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia, Kenraak Sdn Bhd, Persatuan Suku Jakun Pahang, Pusat Komas dan Majlis Belia Orang Asli Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS