Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sediakan sistem prasekolah universal, percuma dulu - Rafizi

Putrajaya digesa menyediakan sistem pendidikan prasekolah yang universal dan percuma sebelum memulakan pelan pendidikan baru, yang akan membenarkan kanak-kanak mendaftar ke tahun satu sekolah rendah pada usia enam tahun.

Bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli, memberi amaran bahawa pelaksanaan pelan tersebut akan bermasalah sekiranya diteruskan tanpa menangani isu prasekolah terlebih dahulu.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak perlu menjalankan ujian diagnostik terhadap kanak-kanak sekiranya mereka telah dipersiapkan sejak peringkat prasekolah.

“Tidak akan timbul kebimbangan bahawa hanya anak-anak dari keluarga berada sahaja yang boleh lulus ujian kerana mereka lebih bersedia.

“Apabila terdapat perkembangan semula jadi, apabila mereka sudah mula ke prasekolah pada usia lima tahun, maka mereka hanya akan masuk ke tahun satu pada usia enam tahun.

“Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku, tetapi tekaan saya ialah idea untuk mengadakan ujian diagnostik dan seumpamanya timbul kerana kebimbangan KPM terhadap prasekolah,” kata Rafizi dalam siri audio siar terbarunya yang disiarkan malam tadi.

Dalam audio siar itu dia bercakap panjang lebar mengenai Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, pada Selasa lalu.

Memang suatu keperluan

RPM 2026-2035 itu menerima kritikan daripada sesetengah pihak, termasuk ahli-ahli parlimen dan pemegang taruh yang mempersoalkan garis masa perancangannya.

Melalui pelan KPM itu negara akan menyaksikan kanak-kanak berusia lima dan enam tahun pada masa ini mendaftar ke tahun satu sekolah rendah secara serentak tahun hadapan.

Bagaimanapun untuk pelajar yang berusia enam tahun, memasuki alam persekolahan di tahun satu tidak diwajibkan sebaliknya hanya berlaku jika mereka sudah bersedia.

Rafizi berkata dia telah membangkitkan keperluan Malaysia mempunyai sistem prasekolah universal yang percuma semasa berada dalam kabinet, sambil menegaskan bahawa sistem sedemikian penting untuk membentuk generasi muda negara.

Namun, menurutnya, idea tersebut telah “ditolak mentah-mentah”.

Dia berpendapat KPM sepatutnya menumpukan perhatian kepada penyediaan pelajar pada peringkat awal dan bukannya menguruskan pendidikan prauniversiti, yang dianggapnya wajar diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Mengapa mahu terlibat menguruskan tingkatan enam dan kelas matrikulasi? Apa yang penting untuk KPM ialah bermula awal (pendidikan kanak-kanak).

“Kamu bermula dengan prasekolah dan ketika mereka masih di peringkat sekolah rendah tahap awal, kerana jika kamu betulkan pada peringkat itu, pelajar akan berada di landasan yang betul dan tidak akan tercicir.

“Tetapi sekarang mereka sibuk dengan tingkatan enam dan pusat matrikulasi. Jika pelajar sudah tercicir, sukar untuk kamu memperbetulkannya pada peringkat itu,” katanya.

Walaupun mengkritik, Rafizi dalam audio siar itu turut memuji kerajaan kerana mengambil langkah “berani” menurunkan umur permulaan pendidikan sekolah rendah yang akan membolehkan pelajar menamatkan persekolahan menengah pada usia 16 tahun.

Menyifatkan keputusan itu sebagai perlu, dia berkata, negara kini telah mencapai tahap sebagai negara menua dan tidak lama lagi akan menjadi negara tua, apabila semakin ramai tenaga kerja memasuki usia persaraan.

Keadaan itu, jelasnya, antara lain akan memberi kesan kepada ekonomi dan pembangunan negara.

Rafizi berkata pelan baru itu merupakan reformasi pendidikan terbesar yang pernah diambil kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

“Jika pelan ini berjalan dengan baik dan membawa hasil yang baik dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang, mungkin Fadhlina (Sidek) akan menjadi menteri pendidikan yang paling diingati dalam sejarah.

“Kerana ini adalah reformasi terbesar yang kita ambil sejak hari pertama merdeka. Kita sedang cuba menetapkan semula jam.

“Ini bukan soal menukar buku teks, ini adalah generational game,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS