Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'MB Perlis jaga negeri saja, jangan campur urusan PAS'
Diterbitkan:  Jan 25, 2026 10:08 AM
Dikemaskini: 2:22 AM

Pergeseran Bersatu dan PAS di Perlis nampaknya belum reda sepenuhnya dengan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari hari ini mengingatkan Menteri Besar Perlis Abu Bakar hamzah agar tidak mencampuri urusan parti lain.

Ini selepas pemimpin Bersatu itu mencadangkan agar tiga bekas Adun PAS dikekalkan sebagai wakil rakyat walaupun berstatus Bebas.

Tegas Fadhli, tiga bekas Adun itu - Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) - terhenti keahlian kerana langgar disiplin yang termaktub jelas dalam Perlembagaan PAS.

"PAS tidak boleh bertolak ansur dengan isu disiplin seperti ini.

"MB cukup jaga negeri dan pastikan tidak jadi MB Perlis tersingkat dalam sejarah, cukup dah tu," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Fadhli turut mengungkit tindakan Abu Bakar pada 2023, ketika Adun Kuala Perlis itu mengisytiharkan 'perang' terhadap menteri besar ketika itu, Mohd Shukri Ramli dari PAS kerana tidak dipilih sebagai exco.

"Kalau PAS nak main politik, enam orang Adun PAS boleh isytihar ‘perang’ macam MB sendiri sebelum ini pernah isytihar ‘perang’ kepada kepimpinan MB Perlis pada November 2023 kerana tidak dilantik jadi exco.

"Tapi itulah, Adun PAS ni bukan macam MB dan parti kami bukan macam parti MB. Rakyat lebih utama," katanya.

Semalam, Syahir Sulaiman yang merupakan setiausaha politik kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan keputusan pemberhentian keahlian tiga bekas Adun Perlis merupakan keputusan kepimpinan pusat parti yang "muktamad".

Dia juga berkata keputusan itu bukan arahan peribadi Abdul Hadi, sebaliknya telah diluluskan oleh Muktamar PAS dengan sokongan sebulat suara.

Kenyataan Syahir itu dibuat selepas Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata masih terdapat kemungkinan penyelesaian berhubung kedudukan tiga Adun terbabit kerana keputusan berkenaan tertakluk kepada pertimbangan Majlis Syura.

Tiga bekas Adun PAS itu dihentikan keanggotaan kerana menarik balik sokongan terhadap Shukri, bersama lima Adun Bersatu lain, yang seterusnya membuka jalan untuk Abu Bakar mengambil alih tampuk kuasa negeri.

Susulan itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Rus’sele Eizan mengisytiharkan kekosongan luar jangka terhadap kerusi dimenangi mereka sebelum ini.

Ketiga-tiga mereka memfailkan saman pemula bagi mencabar keputusan itu.

Rus’sele telah menarik balik notis pemakluman keperluan pilihan raya kecil (PRK) bagi tiga kerusi itu selepas mengambil kira komitmen PAS untuk menyokong kelangsungan pentadbiran baru.

PAS bagaimanapun enggan menyertai barisan exco di bawah Abu Bakar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS