mk-logo
Berita
Pemuda Umno, Amanah bertembung isu agihan kerusi di Melaka, Johor
Diterbitkan:  Jan 25, 2026 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Ketegangan semakin memuncak antara Pemuda Umno dan Amanah apabila parti itu menuntut pembahagian kerusi yang lebih adil untuk ditandingi pada pilihan raya negeri Melaka dan Johor akan datang, berbanding menggunakan formula “penyandang” (incumbency) gabungan Madani.

Hubungan antara Pemuda Umno dan Amanah dilihat kian memburuk, selepas Amanah menuntut pembahagian kerusi yang lebih adil pada pilihan raya negeri Melaka dan Johor akan datang, berbanding menggunakan formula “penyandang”.

Terdahulu hari ini, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad, mencadangkan jika BN dan PH bertanding di bawah kerajaan perpaduan di Melaka dan Johor, pertimbangan menyeluruh mengenai agihan kerusi serta rundingan perlu dibuat bagi memastikan keadilan dan kesaksamaan.

Menekankan kebanyakan kerusi DUN di kedua-dua negeri itu dipegang BN, Khalid berkata keutamaan kepada calon penyandang tidak lagi sesuai kerana ia boleh menjejaskan keadilan dalam gabungan, khususnya dalam kalangan komponen PH.

“Kalau kita terus guna dasar incumbent (penyandang), ia jelas tidak adil. Kami berharap Umno dan BN bersikap terbuka untuk menyerahkan sebahagian kerusi yang disandang kepada rakan dalam kerajaan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Khalid Samad

BN memenangi majoriti dua pertiga semasa PRN di kedua-dua negeri itu pada 2021 dan 2022, didorong oleh kadar keluar mengundi yang rendah.

Bagaimanapun, BN mencatatkan prestasi kurang memberangsangkan pada PRU15, apabila tidak menang sebarang kerusi Parlimen di Melaka, manakala PH dan PN masing-masing menang tiga kerusi.

Di Johor, PH dan sekutunya ketika itu, Muda, menang 14 kerusi, PN dua kerusi, manakala BN menang sembilan kerusi Parlimen.

DUN Melaka akan terbubar secara automatik pada Disember ini, dengan pilihan raya dijangka diadakan selewat-lewatnya Februari. Terdapat spekulasi yang PRU akan dilaksanakan ketika itu bagi menyelaraskan semula pilihan raya peringkat Parlimen dengan negeri di Semenanjung.

Khalid berkata lagi, jika persetujuan tidak dapat dicapai, Amanah tidak menolak kemungkinan berlakunya pertembungan tiga penjuru, sama seperti BN dan PH yang bertembung pada PRN Sabah pada November tahun lalu.

Ketua Amanah Johor, Aminolhuda Hassan, pula dipetik oleh Free Malaysia Today sebagai berkata bahawa pendekatan “free for all” dalam pilihan raya negeri akan datang mampu menyelesaikan kebuntuan kerjasama dengan BN Johor.

Pemuda Umno cabar

Menjawab kenyataan Khalid, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh — yang juga Adun Merlimau di Melaka — mencadangkan agar kedua-dua parti itu bertembung.

“Tidak perlu acah-acah nak bagi amaran. Ingat kami ini siapa, nak bagi amaran bagai? Lawan saja, sembang apa,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Noor Azleen Ambros

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambros - sebagai respons kepada Aminolhuda - turut mencabarnya agar menamakan calon Menteri Besar Johor daripada Amanah jika parti itu benar-benar berhasrat mencabar sekutunya.

“Kita bersedia untuk berdepan sesiapa sahaja di Johor,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.

Katanya, Umno Johor mengalu-alukan sebarang kerjasama politik namun “lebih daripada bersedia” untuk bertanding secara solo.

Sebelum ini, Amanah Johor beberapa kali menyuarakan tuntutan atau menyatakan kesediaan untuk bertanding di 40 kerusi yang kini dipegang BN.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi, dan penggalnya dijadual tamat pada April 2027.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS