PARLIMEN l Pemimpin Perikatan Nasional (PN) mengingatkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, bahawa golongan pesawah sudah lama dan kerap turun berdemonstrasi bagi menuntut pembelaan berhubung isu padi dan beras, khususnya ketika sidang Parlimen berlangsung.
Ahli Parlimen Bagan Serai, Idris Ahmad berkata protes golongan pesawah ini juga bukan perkara baru, sebaliknya sudah berulang dan hampir setiap kali persidangan Dewan Rakyat berlagsung, sekali gus menunjukkan masalah dalam industri padi masih gagal diselesaikan kerajaan.
Katanya, protes pesawah yang berlaku itu juga hasil tunjuk ajar Mohamad sebagai tokoh rujukan dalam budaya demonstrasi.
“Setiap kali sidang (Dewan Rakyat berlangsung mesti) ada demo. Demo itu dia belajar daripada (Ahli Parlimen) Kota Rajalah (Mohamad). Kota Raja ini untuk guru segala-galanya.
“Saya ke mana pun saya anggap dia (Mohamad) sebagai guru politik saya. Guru politik, guru demo dan sebagainya,” katanya ketika membahaskan titah Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Perkara sama turut dibangkitkan Ahli Parlimen Jerlun, Abdul Ghani Ahmad.
Katanya, setiap kali sidang Dewan Rakyat berlangsung, golongan pesawah akan berhimpun di pintu masuk Parlimen bagi menuntut perkara yang sama.
Abdul Ghani berkata demonstrasi tersebut dilakukan melalui pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyerahkan memorandum kepada wakil rakyat, namun tuntutan pesawah masih belum ditangani sepenuhnya oleh kerajaan.
“Setiap kali persidangan Parlimen, pesawah melalui NGO akan sentiasa berhimpun di pintu masuk Parlimen untuk menyerahkan memorandum agar hak mereka ditunaikan,” katanya.
Abdul Ghani berkata isu padi amat dekat di hatinya kerana dia sendiri merupakan anak pesawah dan pernah merasai keperitan mengusahakan sawah, selain sering menerima aduan penduduk di kawasannya mengenai masalah yang membelenggu pesawah.
Menurutnya, seramai 44,139 pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) terlibat secara langsung dalam industri padi negara, namun mendakwa mereka masih belum menerima pembelaan sewajarnya daripada kerajaan.
Abdul Ghani merujuk memorandum yang diserahkan oleh Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PESAWAH) kepada ahli Parlimen Perikatan Nasional pada 20 Januari lalu, yang antara lain menuntut pengekalan kadar pemutuan padi pada siling maksimum 20 peratus, kenaikan harga lantai padi kepada RM1,800 satu tan metrik, atau peningkatan subsidi padi kepada RM800 bagi mengimbangi kos input.
Selain itu, dia juga menggesa kerajaan mengurangkan kos input pesawah termasuk kos jentera, benih dan racun, serta membenarkan pesawah menyimpan, berkongsi dan menjual benih padi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pembekal.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata isu pesawah kini bukan lagi semata-mata soal hasil, sebaliknya melibatkan keadilan dalam keseluruhan rantaian pengeluaran makanan negara.
Katanya, kehadiran pesawah dan petani baru-baru ini ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan, khususnya berkaitan isu pemutuan padi yang didakwa terlalu tinggi, tidak telus dan berlaku tanpa kawalan berkesan.
“Isu pemutuan padi ini mencipta tekanan besar kepada pesawah kerana berlaku pemotongan melampau tanpa penglibatan kerajaan dalam mengawal atau memantau perkara tersebut,” katanya.
Dia juga menggesa kementerian memastikan wujud noktah kepada monopoli pihak tertentu yang meraih keuntungan daripada keringat petani, serta menamatkan amalan pemotongan padi yang melampau dan tidak adil.
“Menteri pertanian ada bersama kita petang ini, saya yakin beliau juga mendengar dengan serius untuk melihat perkara ini dan pastikan ada noktah kepada monopoli pihak-pihak yang mencipta keringat petani kita supaya tidak ada lagi pemotongan-pemotongan yang melampau, yang tidak ada langsung penglibatan kerajaan dalam melihat perkara ini dengan lebih serius,” tegasnya.
Pada 20 Januari lalu, kira-kira 200 individu terdiri daripada pesawah, petani kecil, aktivis alam sekitar dan wakil NGO berkumpul di hadapan bangunan parlimen di Kuala Lumpur bagi mendesak kerajaan membatalkan penyertaan Malaysia dalam konvensyen Upov 1991.
Perhimpunan itu bertujuan menyerahkan dua memorandum bagi menuntut pembelaan hak petani kecil yang didakwa bakal terancam sekiranya pindaan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 diteruskan.
Jurucakap perhimpunan, Abdul Rashid Yob mendakwa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyerahkan draf pindaan akta tersebut kepada Sekretariat Upov di Geneva pada September lalu.
Mohamad sebelum ini berkata, draf perubahan undang-undang yang dikemukakan kepada badan perjanjian pertanian global di Geneva, Switzerland, pada September tahun lepas hanya untuk “rujukan teknikal”.
Menurutnya, proses itu tidak mengikat dan tidak bermaksud kelulusan dasar, serta bukan satu bentuk pelepasan kuasa kepada mana-mana entiti asing.
