Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perjanjian M'sia-AS: MP Gerik dakwa Anwar belakangkan Parlimen, Majlis Raja-Raja

Ahli Parlimen Bersatu Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) mempersoalkan sama ada Perdana Menteri Anwar Ibrahim membelakangkan tanggungjawabnya terhadap Parlimen apabila menandatangani perjanjian perdagangan timbal balik antara Malaysia dan Amerika Syarikat (ART).

Semasa membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini, Fathul berkata dia mendasarkan persoalan ini pada Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan tanggungjawab kolektif Jemaah Menteri kepada Parlimen.

"Perjanjian ini juga melibatkan isu-isu strategik, seperti unsur nadir bumi, maka timbul persoalanan sama ada perkara ini telah dirujuk kepada Majlis Raja-Raja serta melibatkan kerajaan negeri dan menteri-menteri besar yang mempunyai bidang kuasa terhadap sumber-sumber tersebut.

"Jadi, persoalan saya mengapa perdana menteri menandatangani perjanjian ART ini tanpa beliau mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja atau melalui satu rang undang-undang di Parlimen selaras dengan Perkara 69 Perlembagaan Persekutuan untuk meluluskan perjanjian ART tersebut?" katanya.

Perkara 69 menggariskan kuasa persekutuan untuk membuat kontrak serta keupayaannya untuk mendakwa dan didakwa.

Pada 19 Jan, Fathul bersama empat lagi Ahli Parlimen PN memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar perjanjian tarif timbal balik Malaysia-AS tersebut, dengan menyifatkannya sebagai tidak mengikut perlembagaan, terbatal dan tidak sah.

Empat lagi Ahli Parlimen tersebut ialah Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Awang Hashim (Pendang), Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), dan Abdul Khalid Abdullah (Rompin).

Dokumen mahkamah yang dilihat oleh Malaysiakini menunjukkan bahawa ahli-ahli parlimen tersebut menamakan Anwar, Peguam Negara, dan kerajaan sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam permohonan saman pemula itu, mereka menuntut beberapa deklarasi mahkamah, termasuk bahawa Anwar tidak mempunyai kuasa perlembagaan untuk mengikat persekutuan dengan perjanjian perdagangan tersebut.

Mengulas lanjut, Fathul mendakwa tindakan undang-undang tersebut bukan bersifat politik, sebaliknya bertujuan memelihara kedaulatan negara dan Perlembagaan.

Dia seterusnya menegaskan bahawa dia tidak menolak AS secara mutlak, namun menekankan keperluan untuk mengutamakan kepentingan nasional.

"Kita tidak mahu hanya kerana sebatang pen masa depan negara kita digadaikan melalui perjanjian yang belum dimuktamadkan dan tidak telus ataupun penuh dengan ketidakpastian.

"Kepentingan nasional, kedaulatan negara, dan hak generasi akan datang tidak wajar kita pertaruhkan demi memenuhi tekanan kuasa luar," katanya lagi.

Fail saman pemula itu menyusul selepas surat tuntutan (LOD) yang dikeluarkan oleh Rosol kepada Anwar pada Disember tahun lalu, yang menggesa beliau menjelaskan punca kuasa yang membolehkannya menandatangani perjanjian perdagangan dengan AS tersebut.

Anwar telah menandatangani perjanjian itu pada 26 Oktober 2025, yang bertujuan untuk merangsang aktiviti ekonomi antara Malaysia dan AS.

Anwar memberitahu Dewan Rakyat pada 18 November bahawa Malaysia tetap teguh dalam tiga sektor utama yang dianggap "sensitif" kepada kepentingan AS, iaitu nadir bumi, semikonduktor, dan denominasi mata wang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS