ANALISIS | Pertelingkahan antara Umno dan Amanah berhubung pembahagian kerusi di Melaka, Johor dan Kedah tidak berpijak di bumi nyata.
Untuk memahami sebabnya, memadai dengan meneliti keputusan pilihan raya di ketiga-tiga negeri tersebut.
Di Melaka dan Johor, memang benar BN menang pilihan raya negeri pada 2021 dan 2022 dengan majoriti besar.
Namun realitinya, kemenangan itu adalah hasil kelemahan sistem first past the post, yang membolehkan calon menang walaupun tidak memperoleh lebih 50 peratus undi dalam pertandingan banyak penjuru, ditambah pula dengan kadar keluar mengundi yang rendah.
Di Melaka, walaupun menang 75 peratus kerusi, BN hanya meraih 38.4 peratus undi, manakala PH yang meraih 35.8 peratus undi hanya menang 17.8 peratus kerusi.
Malah daripada 21 kerusi yang dimenangi BN, hanya enam yang dimenangi dengan lebih 50 peratus undi, manakala lapan kerusi dimenangi dengan tidak lebih 40 peratus undi.
Begitu juga di Johor, BN menang 71 peratus kerusi dengan hanya 43.1 peratus undi.
Daripada 40 kerusi yang dimenanginya, 18 dimenangi dengan kurang daripada 50 peratus undi, termasuk 11 kerusi yang dimenangi dengan kurang daripada 40 peratus undi.
Dalam kedua-dua pilihan raya tersebut, kadar keluar mengundi adalah di bawah 70 peratus. Apabila kadar keluar mengundi meningkat pada PRU 2022, keputusannya tidak begitu memihak kepada BN.
Di Melaka, BN gagal menang sebarang kerusi Parlimen, manakala PH dan PN masing-masing menang tiga kerusi. Di Johor pula, “dominasi” BN tamat apabila hanya menang sembilan kerusi Parlimen, iaitu 36 peratus daripada semua kerusi Parlimen di negeri itu.
Sementara itu, dalam pilihan raya negeri Kedah 2023, walaupun BN dan PH bergabung menentang PN dengan kebanyakan kerusi menyaksikan pertembungan dua penjuru, Umno dan Amanah tewas semua kerusi. PH, PKR dan DAP pula masing-masing hanya menang satu kerusi.

Realiti di sebalik kemenangan besar BN di Melaka dan Johor menjadikan formula ‘penyandang’ yang diamalkan oleh gabungan Madani ketika ini – iaitu parti bertanding di kerusi yang dimenanginya sebelum ini – sebagai tidak mampan.
Dan walaupun Amanah mungkin satu-satunya parti yang lantang membangkitkan isu ini buat masa sekarang, tidak mustahil parti komponen PH yang lain, khususnya PKR, juga mahu Umno melepaskan sebahagian kerusi yang dimenanginya.
Sekiranya rundingan gagal, dan Amanah serta PH memilih untuk bertembung dengan Umno dan PN, tiada jaminan yang kejayaan akan dicapai.
Lebih-lebih lagi Amanah, dengan langkah sedemikian mungkin membawa kesan buruk kepada parti itu kerana sokongan Melayu dan bukan Melayu terhadap PH dilihat rapuh pada masa ini.
Risiko besar buat Amanah
Bercakap kepada Malaysiakini, ahli sains politik Universiti Sunway, Wong Chin Huat, berpandangan yang kedudukan Amanah dalam PH seperti cerminan kepada MCA dan MIC dalam BN.
Ini kerana kerjasama antara PH dan BN menyebabkan mereka mempunyai kurang kerusi untuk ditandingi, walaupun kedudukan Amanah masih dilihat lebih baik berbanding MCA dan MIC.
Katanya, terdapat risiko Amanah akan dipaksa melepaskan kerusi kepada Umno, dan kemungkinan besar Pengerusi PH Anwar Ibrahim tidak akan berpihak kepada parti itu.

“Jadi, desakan Amanah untuk pertandingan secara bebas adalah sebagai persediaan untuk bertarung dan pada masa sama sebagai strategi tawar-menawar,” katanya.
Bagi pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Syaza Syukri, langkah Amanah itu adalah pertaruhan yang membawa risiko besar.
“Kita faham Amanah mahu menegaskan keberadaannya. Tetapi jika ia berakhir dengan pertandingan tiga penjuru, bukan sahaja ia akan memberi kesan kepada keputusan, malah kepercayaan antara gabungan juga akan terjejas.
“Namun, jika kita buat perbandingan dengan keputusan PRU 2022, saya tidak fikir Amanah semestinya akan berdepan kekalahan” katanya.
Ikut PRN atau PRU?
Wong dan Syaza sependapat bahawa Umno tidak seharusnya terlalu bergantung kepada pencapaiannya dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor.
Menurut Wong, keputusan PRU jelas menghancurkan ilusi BN bahawa ia memiliki momentum selepas pilihan raya negeri sebelumnya.
“Adakah pilihan raya negeri akan datang akan mengikut pola pilihan raya negeri lalu atau PRU15?
“Umno mungkin tidak seharusnya mengambil mudah perkara ini,” katanya lagi.
Syaza pula berkata ada kemungkinan Umno mampu mengulangi kejayaannya sekiranya Melaka dan Johor terus mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan daripada PRU.
“Namun pada akhirnya, jika bekerjasama dengan PH, BN mungkin menang besar. Tetapi jika BN bertembung dengan PH, saya tidak fikir laluan akan menjadi mudah untuk BN,” katanya.
