PARLIMEN | Ahli parlimen pembangkang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) memetik nama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, ketika menggesa supaya had umur persaraan ketua hakim negara dinaikkan melebihi 70 tahun.
Semasa perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong, Wan Fayhsal mempersoalkan mengapa tempoh perkhidmatan Azam dilanjutkan walaupun telah melepasi umur persaraan wajib dengan membandingkan keadaan bekas ketua hakim negara, Tengku Maimun Tuan Mat.
"Jadi kenapa Tengku Maimun dinafikan (lanjutan tempoh khidmat) tahun lepas," soalnya di Dewan Rakyat hari ini.
Mengemukakan permintaan itu kepada pihak dalam kerajaan Madani yang benar-benar mahukan reformasi, Wan Fayhsal merujuk contoh United Kingdom, apabila hakim dibenarkan berkhidmat sehingga umur 75 tahun.

"Jadikan hakim-hakim yang berwibawa ini peluang untuk berkhidmat masih ada,” katanya lagi.
Pada Jun tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengecam dakwaan usaha melobi kerajaan supaya melanjutkan tempoh perkhidmatan Tengku Maimun, dengan menyifatkan langkah sedemikian sebagai mempolitikkan badan kehakiman.
Anwar secara sinis berkata sekiranya amalan itu dibenarkan, ia akan membuka ruang kepada penjawat awam lain seperti ketua setiausaha negara untuk melobi demi mengekalkan jawatan masing-masing.
Sebulan sebelum itu, Anwar menerima kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk anaknya Nurul Izzah, susulan keputusan melanjutkan kontrak Azam buat kali ketiga.

Bagaimanapun, perdana menteri mempertahankan keputusannya dan menegaskan Azam telah menunjukkan “keberanian luar biasa” dalam menangani rasuah berprofil tinggi.
Mengulas lanjut, Wan Fayhsal berkata tiada gunanya meraikan angka ekonomi yang kukuh sekiranya ia tidak mencerminkan realiti kehidupan rakyat Malaysia.
“Antara 2019 hingga 2024, gaji nominal sektor swasta meningkat 7 peratus, harga keseluruhan naik 9.3 peratus, dan harga makanan melonjak 17.4 peratus.
“Apa maksudnya? Rakyat bekerja lebih keras, tetapi membeli lebih sedikit.

“Kuasa beli jatuh 2.3 peratus. Ekonomi berkembang, tetapi poket rakyat mengecut,” katanya.
Dia turut membangkitkan kebimbangan mengenai isu kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak Malaysia, berkata kadar pertumbuhan terbantut meningkat daripada 20 peratus pada tahun 2000 kepada 24 peratus ketika ini.
"Kalau ikut poket, kita berkali ganda lebih kaya dari Kemboja, Laos dan Bangladesh. Malah, kita dua kali ganda lebih 'poket tebal' dari Indonesia dan Vietnam.
"Tetapi, ada satu perkara yang kita kalah teruk dengan mereka. Sambil jiran-jiran kita makin maju, anak-anak kita pula makin terbantut,” katanya.

Dalam jawapan bertulis parlimen pada Julai 2024, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata prevalens pertumbuhan terbantut dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun meningkat daripada 17.7 peratus pada 2015 kepada 21.2 peratus pada 2022.
Seiring itu, laporan Institut Jeffrey Cheah mengenai Asia Tenggara pada 2019 mendapati masalah pertumbuhan terbantut di Malaysia semakin meruncing berbanding tahap pada 1999.
Ini berlaku walaupun Malaysia berstatus negara berpendapatan sederhana tinggi, menurut laporan bertajuk “Stunting in Malaysia: Costs, Causes, and Courses for Action”.
Pertumbuhan terbantut merujuk kepada gangguan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak akibat pelbagai faktor berlapis, termasuk pemakanan tidak mencukupi, kekurangan zat makanan ibu, sanitasi yang lemah, jangkitan berulang serta faktor sosioekonomi.
Ia memberi kesan jangka panjang kepada individu, antaranya perkembangan kognitif dan motor yang lemah, sistem imun yang rapuh, serta peningkatan risiko penyakit kronik seperti kanser dan diabetes.
[Baca berita asal]
