PARLIMEN | Ahli Parlimen Bersatu Mas Ermieyati Samsudin (PN–Masjid Tanah) menggesa kerajaan supaya berhenti “menjadikan kanak-kanak seperti tikus makmal” susulan dasar pendidikan yang tidak konsisten dan separuh masak.
Ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini, Masjid Tanah menegaskan ketiadaan dasar pendidikan yang menyeluruh dan konsisten hanya akan menyebabkan kanak-kanak menjadi semakin keliru dengan eksperimen dasar kerajaan.
“Elakkan kanak-kanak menjadi tikus makmal. Anak-anak berisiko menjadi mangsa dasar yang sering berubah-ubah.
"Kita memerlukan penyelarasan yang menyuruh dalam pendidikan awal ini supaya tidak letakkan dalam risiko ‘trial and error’,” katanya.

Mas Ermieyati memberi maklum balas terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang memberitahu Dewan Rakyat awal hari ini bahawa dia bersetuju untuk membatalkan cadangan ujian saringan diagnostik bagi kemasukan ke sekolah rendah selepas langkah itu menerima kritikan pelbagai pihak.
Minggu lalu, Anwar melancarkan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 yang memperkenalkan beberapa inisiatif baru, termasuk memberi pilihan kepada ibu bapa untuk mendaftarkan anak berusia enam tahun ke Tahun Satu sekiranya mereka merasakan anak-anak itu sudah bersedia.
Kemasukan ke Tahun Satu pada usia enam tahun tidak diwajibkan namun ibu bapa digalakkan mempertimbangkan pendaftaran tersebut, selari dengan dasar baru yang mewajibkan kemasukan prasekolah pada usia lima tahun.
Dijadual bermula tahun hadapan, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sebelum ini berkata pelaksanaan akan dibuat secara berperingkat dan melibatkan penilaian diagnostik bagi menentukan tahap kesediaan setiap kanak-kanak.

Dalam ucapannya hari ini, ahli parlimen Masjid Tanah itu turut mengkritik tindakan 'u-turn' Anwar, sambil menyindir kenyataan perdana menteri minggu lalu yang mencadangkan ibu bapa melakukan “solat istikharah” bagi memohon petunjuk sekiranya anak mereka bersedia untuk didaftarkan lebih awal ke sekolah.
"Minggu lepas perdana menteri suruh ibu bapa solat istikharah, tetapi belum sempat ibu ayah istikharah, tiba-tiba perdana menteri cakap hari ini tak nak buat ujian pula.
"Yang berhormat menteri pendidikan sepatutnya buat solat istikharah dulu sebelum cadangkan untuk negara kita,” katanya.
Mas Ermieyati juga mencadangkan agar menteri pendidikan berbincang dengan perdana menteri terlebih dahulu, sebelum membuat sebarang pengumuman dan keputusan di peringkat nasional.
Secara berasingan, dia turut menggesa kerajaan supaya melihat pendidikan awal dan pendidikan sekolah rendah sebagai satu kesinambungan yang menyeluruh, bukannya dilayan sebagai “segmen berasingan”.
Dia menyarankan kementerian memperluas skop pendidikan awal bagi merangkumi kanak-kanak seawal usia 18 bulan dan tidak hanya tertumpu kepada kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun, sambil menyifatkan pendekatan itu sebagai amalan standard global yang diguna pakai banyak negara maju.
Mas Ermieyati turut menggesa penglibatan lebih meluas pihak berkepentingan swasta bagi menangani ketidaksamarataan dalam sektor pendidikan awal.
“Kita tidak boleh lupa bahawa 80 peratus pendidikan awal di negara ini dipacu oleh sektor swasta. Kementerian Pendidikan perlu melibatkan mereka sebagai rakan strategik dalam pelan pendidikan 2026–2035 ini,” katanya.
Mas Ermieyati turut menyeru supaya wujud penyelarasan lebih kukuh antara kementerian yang bertanggungjawab ke atas pendidikan prasekolah, sambil menegaskan wujud ketidakselarasan antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pendidikan, serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Dia berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat boleh mengendalikan aspek kebajikan di tadika, tetapi rasional pendidikan mesti tetap dipacu Kementerian Pendidikan.
Menurutnya lagi, tadika swasta ketika ini masih tertakluk kepada peraturan di bawah tiga kementerian berbeza.
Malah, Mas Ermieyati berkata kos bagi satu lesen tadika sahaja boleh mencecah puluhan ribu ringgit.
Terdahulu hari ini, beberapa ahli parlimen pembangkang lain, termasuk wakil rakyat Bersatu Radzi Jidin (PN–Putrajaya) dan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari, turut mengkritik tindakan Anwar menukar pendirian mengenai dasar ujian diagnostik itu.
Radzi, yang juga bekas menteri pendidikan, menggesa kerajaan menilai keupayaan sedia ada dari segi jumlah guru, bilik darjah dan kemudahan sokongan sebelum meneruskan pelan tersebut, selain mencadangkan proses kemasukan berperingkat berdasarkan tarikh lahir sebagai pengganti kepada ujian diagnostik yang dibatalkan.
Sementara itu, Fadhli menyifatkan tindakan kerajaan berpatah balik itu sebagai “bukti” penggubal dasar hanya mengemukakan cadangan separuh masak tanpa pertimbangan menyeluruh sebelum melancarkan pelan berkenaan minggu lalu.
